Clattenburg Jelaskan Mengapa Penalti Minit Akhir Liverpool Diberikan Walaupun Jota Jatuh Dengan Lembut

Liverpool diberikan sepakan penalti pada babak akhir perlawanan menentang Newcastle untuk memadam terus kebangkitan minit akhir pasukan pelawat.

Minit akhir perlawanan pada ketika kedudukan 3-2, Digo Jota berhadapan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol.

Penyerang berasal dari Portugal itu berjaya melepasi halangan penjaga gol Martin Dubravka, melakukan larian beberapa langkah ke hadapan sebelum tergolek di dalam kotak penalti. Jelas ia tidak cukup meyakinkan Jota telah dikasari.

Penalti bagaimanapun diberikan selepas rakaman VAR disemak, Mohamed Salah yang gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama perlawanan kemudiannya tenang menjadikan kedudukan 4-2 untuk melengkapkan kemenangan pertama Liverpool pada 2024.

Kemenangan itu juga bermakna Liverpool semakin mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga dengan kelebihan 3 mata.

Gary Neville yang bertugas sebagai pengulas bersama Sky Sports sukar untuk mempercayai apa yang dilihatnya.

“Oh tidak. Anda tidak boleh memberikan penalti untuk itu.

“Dia sedang maju ke hadapan, kemudian ke depan lagi sebelum tergolek. Tempoh [masa lama untuk bergolek] itu sangat hebat. Ia berlaku dua atau tiga meter selepas berlakunya sentuhan.”

Neville kemudiannya menambah: “Sepanjang perlawanan penyokong Liverpool mencemuh pengadil Anthony Taylor. Tetapi di sini dia membantu mereka. Saya tidak fikir ia adalah penalti.

Bekas pengadil Premier League Mark Clattenburg kemudiannya menjelaskan dia juga tidak rasa selesa kerana penalti tersebut diberikan.

Walaupun demikian Clattenburg mengakui ia adalah mustahil untuk VAR memadam keputusan awal Taylor memberikan penalti kerana adanya sentuhan – walaupun sedikit.

Di sebalik kontroversi itu Liverpool selayaknya memenangi perlawanan ini. Skuad kendalian Jurgen Klopp menghasilkan 34 percubaan sepanjang perlawanan.

Malah The Reds turut merekodkan 7.27 kemungkinan gol – data tertinggi yang pernah direkodkan oleh OPTA dalam mana-mana perlawanan sejak pengumpulan data mula dilakukan di Premier League sejak 2010.

BACA:  Takumi Minamino Sah Menyertai Monaco Dengan Yuran Perpindahan Bernilai £15.5 Juta