Ukraine Dinafikan Slot Automatik Ke Euro 2024 Sehari Selepas Kenyataan Kontroversi Berat Sebelah Presiden UEFA

Ukraine dinafikan slot automatik untuk layak ke kejohanan Euro 2024 selepas sekadar seri dengan Itali dalam perlawanan yang turut dibayangi kontroversi membabitkan keputusan penalti pada lewat permainan.

Kedua-dua pasukan mengakhiri perlawanan tanpa sebarang jaringan dalam perlawanan terakhir pusingan kelayakan peringkat kumpulan di Leverkusen.

Dalam perlawanan tersebut, pemain sayap Chelsea Mykhailo Mudryk jelas dikasari Bryan Cristante di dalam kotak penalti Itali.

Pengadil perlawanan Jesus Gil Manzano bagaimanapun memberikan isyarat untuk perlawanan diteruskan tatkala pemain Ukraine merayu untuk sepakan penalti diberikan.

Semakan melalui bantuan video pengadil (VAR) turut memihak kepada keputusan Manzano, walaupun jelas hadangan Cristiante tidak mengenai bola.

Pemain Arsenal, Oleksandr Zinchenko mengetuai protes oleh skuad Ukraine selepas wisel penamat ditiup. Keputusans seri itu memastikan Itali ke Euro 2024 sebagai naib juara Kumpulan C.

Kedua-dua pasukan mempunyai jumlah kutipan mata yang sama, tetapi Itali mempunyai kelebihan daripada segi kelebihan jaringan.

Ini juga bermakna tatkala skuad kendalian Luciano Spalletti boleh menarik nafas lega tidak tercicir ke kejohanan Euro di Jerman pada musim panas akan datang, Ukraine yang terpaksa beraksi di venue neutral sepanjang kempen kelayakan kerana konflik dengan Rusia di negaranya kini terpaksa menghadapi perlawanan play-off.

Sebelum perlawanan pengendali Ukraine Serhiy Rebrov lantang mengkritik Presiden UEFA Aleksander Ceferin yang mengeluarkan kenyataan berat sebelah sehari sebelum perlawanan.

Melalui kenyataannya, Ceferin berkata ia adalah satu malapetaka sekiranya Itali gagal melayakkan diri ke Jerman untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pasukan itu di edisi sebelumnya.

“Itali wajib layak ke Euro 2024, atau pun ia akan menjadi satu malapetaka,” kata Ceferin.

“[Keberadaan] Skuad kebangsaan Itali sangat penting, dan saya berpendapat mereka akan menewaskan Ukraine.”

Rebrov mendakwa kenyataan oleh Ceferin itu menyebabkan pemainya marah dan lebih bermotivasi untuk melayakkan diri ke Jerman.

BACA:  Lukaku Mengidam Untuk Bermain Di Itali, Anggap Juventus Pasukan Yang Hebat