Juventus Sudah Hantar Surat Dan Kini Pertimbang Saman Pogba

Juventus dilaporkan sudah menghantar surat rasmi kepada Paul Pogba selepas ujian kedua kes doping pemain itu disahkan keputusannya.

Melalui surat tersebut Juventus memaklumkan pemain itu hanya menerima bayaran gaji €2,000 seminggu sehinggalah keputusan pergantungan pemain itu diumumkan kemudian.

Kelab Turin itu turut akan menunggu untuk mengambil tindakan seterusnya bergantung kepada situasi dan perkembangan kes. Buat masa ini tidak dapat dipastikan sama ada kes pemain itu akan dibicarakan atau Pogba akan tampil mempertahankan dirinya.

Namun laporan Tuttosport di Itali mendedahkan Juventus kini turut sedang mempertimbangkan untuk menyaman pemenang Piala Dunia 2018 itu kerana kerugian daripada segi teknikal, selain menamatkan kontrak Pogba.

Juventus sebelum ini mengambil langkah menggantung Pogba daripada pasukan sejak 11 September lalu sebaik sahaja ujian air kencingnya mengandungi kandungan testosterone luar biasa – selepa perlawanan menentang Udinese pada Ogos.

Pogba kemudiannya menuntut ujian kedua dilakukan untuk analisis dengan harapan terdapat kesilapan pada ujian kedua untuk membersihkan namanya.

Walaupun demikian keputusan ujian kekal sama, dan Pogba kini telah diasingkan daripada skuad utama dan tidak dibenarkan untuk berkomunikasi dengan staf kejurulatihan kelab itu.

Berdasarkan peraturan untuk pemain yang digantung, Juventus dibenarkan untuk hanya membayar Pogba gaji minima sebanyak €42,177 setahun.

Peraturan tersebut sememangnya terkandung di dalam Perjanjian Kolektid bersama Persatuan Pemain Bolasepak Itali.

Pogba adalah antara penerima gaji tertinggi selepas menyertai Juventus buat kali kedua secara percuma pada musim panas lalu.

Pendapatan pemain itu di kelab Turin itu dipercayai melangkau nilai €10 juta.

BACA:  Genap 9 Tahun Zidane Menanduk Materazzi, Siapakah Zidane?