Ultras PSG Ancam Kerat Jari Vlahovic Jika Pindah Ke Kelab Itu

Kumpulan penyokong garis keras PSG (Ultras PSG) mengancam akan memotong tiga jari Dusan Vlahovic jika benar perpindahan pemain Juventus itu ke kelab Ligue 1 menjadi kenyataan.

Ancaman tersebut dipaparkan oleh Ultras PSG melalui sepanduk besar yang digantung di luar Stadium Parc des Princess baru-baru ini.

PSG sememangnya mencari seorang penyerang baharu sebelum bermulanya saingan musim hadapan setelah perpindahan Lionel Messi ke Inter Miami dan masa depan Kylian Mbappe yang diulit pelbagai spekulasi.

Situasi tersebut menjadikan Vlahovic yang turut dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea dan Tottenham kini turut berada di dalam sasaran pengurus baharu PSG, Luis Enrique di jendela perpindahan musim panas ini.

Melalui sepanduk yang digantung oleh Ultras PSG, tertulis mesej: “Jika kamu datang ke Paris, kami akan kerat tiga jarumu,” sebagai tanda protes daripada kumpulan itu yang tidak senang dengan tindakan pemain itu ketika mewakili Serbia dalam satu perlawanan antarabangsa sebelum ini.

Salah seorang anggota kumpulan tersebut berkata tiga jari itu adalah simbolik kepada tindakan Vlahovic yang mengangkat tiga jari sebagai tanda sokongan kepada ‘kemenangan Serbia’.

Marca melaporkan, pesan mengerikan terhadap pemain itu adalah respon kepada foto Vlahovic bersama dua rakan sepasukannya yang memakai baju tanda penguasaan Serbia ke atas Kosovo.

Laporan terkini mendakwa Vlahovic mencapai persetujuan terma peribadi dengan PSG dan Foot Mercato mendakwa pemain itu gembira menandatangani kontrak lima tahun dengan pendapatan €11 juta (RM65 juta) setahun bersama jaguh Ligue 1 itu.

Ultras PSG sememangnya dikenali kerana keberanian dan suara vokal mereka menampilkan pandangan dan pendirian mereka.

Sebelum ini Ultras PSG turut mensasarkan Lucas Hernandez apabola tidak mengalu-alukan pemain itu di Parc des Princes menjelang perpindahannya dari Bayern Munich.

Ini kerana perkaitan Hernandez dengan musuh tradisi Marseille, bandar kelahirannya dan ayahnya Jean-Francois adalah bekas pemain kelab seteru PSG itu.

BACA:  Messi Bengang Dengan Pochettino Kerana Mengeluarkan Beliau