Pogba Terima Tawaran Mengejutkan Daripada MFL Walaupun Digantung 4 Tahun

Seperti semua sedia maklum, Paul Pogba kini sedang digantung selama 4 tahun daripada bola sepak kerana kesalahan doping. Namun demikian ia tidak menghalang pemain tengah itu daripada ditawarkan kontrak cukup lumayan.

Pada awal bulan ini Pogba digantung selama 4 tahun oleh Tribunal Anti-Doping Kebangsaan Itali selepas sampel diambil daripada pemain itu positif bahan terlarang,

Melalui satu kenyataan Pogba kemudiannya mengesahkan akan melakukan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa (CAS) dan hanya akan mengeluarkan penjelasan mengenai perkara tersebut selepas didapati tidak bersalah.

Sekiranya gagal dalam rayuannya, Pogba terpaksa menghadapi hukuman tersebut dan akan berusia 34 tahun ketika ianya berakhir, dan situasi ini pasti akan meletakkan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional di dalam risiko untuk berakhir.

Walaupun demikian dalam satu laporan Tuttosport mendedahkan Pogba telah ditawarkan kontrak lumayan untuk beraksi bersama Broke Boys.

Broke Boys mungkin pasukan yang asing bagi peminat bola sepak di Malaysia. Pasukan itu sebenarnya dibentuk untuk bersaing di dalam liga selebriti di Rusia.

Pada 2022 Media Football League (MFL) telah dibentuk, di mana pertandingan disertai barisan selebriti termasuk pelakon dan pempengaruh media sosial.

Pengarah Sukan Broke Boys, Artjom Chatjaturjan turut mendedahkan rundingan dengan bintang antarabangsa Perancis itu telah pun bermula.

“Ia mungkin kedengaran agak kelakar, tetapi kami telah menghubungi Pogba,” kata Chatjaturian kepada Tuttosport.

“Buat masa ini Pogba telah menolak tawaran tersebut dengan baik. Dia sangat terdesak pada masa ini dan memerlukan masa untuk menerima keadaan.

“Pogba adalah antara pemain terbaik dunia dan dia tahu kariernya sangat singkat.”

Chatjaturjan turut mendakwa surat tawaran sudah dihantar kepada Pogba melalui ejen pemain itu Rafaela Pimenta dengan tawaran gaji £1,167 sebulan dengan pelbagai kelebihan lain sekiranya pemain itu bersetuju menyertai mereka di Rusia.

Kontrak tersebut turut disertakan dengan tawaran kediaman mewah, yang tidak dikongsi dengan pemain lain.

BACA:  Paul Pogba Sah Tolak Tawaran Lumayan Dari Manchester City