Gaji Dibocorkan Media Di Itali Dedah Juventus Jimat £27 Juta Jika Jual Pogba

Juventus mampu berjimat sebanyak £26.9 juta (RM162 juta) sekiranya menjual Paul Pogba di jendela perpindahan ini ke Arab Saudi.

Jumlah tersebut adalah berdasarkan anggaran setelah pendapatan pemain itu di Turin dibocorkan oleh media di Itali.

Bekas pemain tengah Manchester United itu berhijrah ke Turin secara percuma pada awal musim lalu selepas tempoh mengecewakan di Old Trafford.

Sebaik sahaja menyertai Juventus secara ejen bebas, pemain berusia 30 tahun itu diberikan kontrak bernilai £6.8 juta semusim, namun sehingga kini Pogba gagal memberikan impak yang diharapkan seperti kali pertama beliau menyertai kelab itu.

Kegagalan Pogba di Serie A pada musim lalu kebanyakkannya berkaitan dengan deretan kecederaan yang dialaminya itu sehingga menjejaskan prestasi.

Selepas menjalani pembedahan di lutut selain kecederaan harmstring ketika pra musim, Pogba hanya melakukan debut pada Februari. Pemain itu sekali lagi terpaksa disisihkan selepas itu akibat kecederaan.

Laporan Gazzetta dello Sport mendedahkan 10 penampilan Pogba di semua pertandingan musim lalu bermaksud pemain itu menerima £680,000 untuk setiap perlawanan – £42,488  untuk setiap minit aksi.

Siasatan Gazzetta turut mendapati kontrak Pogba mempunyai klausa berkaitan cukai yang perlu ditanggung Juventus sebanyak £8.9 juta.

Ini bermaksud untuk tempoh keseluruhan 4 musim, Juventus perlu membayar £35.9 juta untuk gaji pemain itu sahaja.

Jumlah tersebut boleh meningkat sehingga £42.9 sekiranya Pogba berjaya menghasilkan beberapa pencapaian lain berkaitan bonus.

Dan jumlah besar yang perlu dibayar kepada Pogba menyebabkan kelab Turin itu mempertimbangkan untuk melepaskan pemain tersebut pada jendela perpindahan musim panas ini.

Malah kelab Turin itu dilihat terdesak untuk melepaskan Pogba apabila sanggup membenarkan pemain itu pergi di bawah nilai £10 juta kepada mana-mana kelab yang berminat mendapatkan khidmatnya.

Pogba baru-baru ini telah menarik minat Al Ittihad – kelab sama yang berjaya memancing rakan senegaranya, Karim Benzema dan juga N’Golo Kante pada awal musim panas ini.

Kelab Saudi Pro League itu turut dilaporkan sanggup membayar gaji yang lebih tinggi kepada Pogba berbanding apa yang diterimanya daripada Juventus.

Al-Ittihad dipercayai telah menawarkan kontrak selama tiga tahun bernilai £85.6  juta. Pemain itu dianggap berminat dengan tawaran tersebut setelah lawatan ke pusat latihan kelab Arab Saudi itu baru-baru ini.

Namun ketika ibadah di Mekah baru-baru ini, Pogba seolah-olah berdalih mengenai minatnya untuk meneruskan karier di negara Timur Tengah itu.

“Saya tidak meligat diri saya akan beraksi di Liga Arab. Bukan hari ini…. saya tidak tahu bagaimana esok.

“Al Ittihad atau Al Ahly? Saya tidak tahu, kita sama-sama lihat,” ujarnya.

BACA:  Real Madrid dan Ronaldo Sah Berpisah Kerana Curang Untuk Bersama Juventus