Kapten Real Madrid, Sergio Ramos berkata pasukannya tidak akan melakukan ‘Guard of Honour’ kepada Barcelona apabila kedua-dua pasukan bertembung di Nou Camp hujung minggu ini.
Barcelona mengesahkan kejuaraan La Liga musim ini dengan menewaskan Deportivo La Coruna 4-2 kelmarin. Ia merupakan kejuaraan La Liga ke-7 mereka dari 10 musim yang terdahulu.
Los Cules berpeluang cerah untuk menamatkan musim tanpa sebarang kekalahan sekiranya mereka mengelak dari kalah dalam pertemuan El-Clasico hujung minggu ini dan 3 perlawanan La Liga seterusnya.
Seperti kebiasaan, pasukan yang menjuarai liga akan menerima penghormatan dalam bentuk ‘Guard of Honour’ dari pasukan lain sebagai menghargai pencapaian muncul juara. Tradisi tersebut turut disokong oleh bek kiri Barcelona, Jordi Alba yang mahu Real Madrid berbuat demikian apabila kedua-dua pasukan bertemu di Nou Camp Ahad nanti.
Walaubagaimanapun, perkara tersebut tidak berapa disambut baik kem Real Madrid dan kapten mereka, Sergio Ramos berkata mereka tidak akan melakukan ‘Guard of Honour’ kerana Zinedine Zidane tidak mahu anak buahnya berbuat demikian.
Ketika bercakap kepada sidang media menjelang pertemuan menentang Bayern Munich awal pagi Rabu, Ramos mengesahkan perkara demikian sebagai menghormati arahan jurulatih mereka.
“Apa yang Zidane katakan sebelum ini mengenai ‘Guard of Honour’ adalah muktamad. Pihak media terlalu menggembar-gemburkan perkara ini. Barcelona berjaya memenangi La Liga, iaitu perkara yang mereka mahukan tetapi kami tidak akan membuat ‘Guard of Honour’ untuk mereka. Muktamad.”
“Barcelona mahu meraikan kejuaraan mereka dan perkara yang sama buat kami iaitu kami perlu menyingkirkan pasukan Jerman untuk mara ke perlawanan akhir.”
Real Madrid berada dalam landasan terbaik untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ke-3 berturut-turut dan pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane berkata beliau akan mengarahkan anak buahnya supaya menyerang kubu Bayern Munich awal pagi Rabu nanti.
“Kunci utama bagi kami adalah berfikir bagaimana untuk memenangi perlawanan dan turun ke padang dengan matlamat tersebut. Kami perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan gol awal dan itu yang akan kami cuba lakukan nanti.”
“Ini merupakan perlawanan separuh akhir, kami tahu betapa pentingnya perlawanan ini dan apa yang kami perlu lakukan untuk menang. Kami tidak perlu mengubah apa yang kami telah lakukan sebelum ini.”
“Fokus dan semangat juang akan kami pamerkan di padang nanti – kami tidak perlu melakukan perubahan terlalu banyak. Apa yang kami telah lakukan dalam perlawanan pertama sudah cukup baik.”
“Tetapi untuk perlawanan timbal balik ini, kami perlu menunjukkan persembahan yang menggambarkan matlamat kami untuk mara ke pentas final.”