Ramsey Tiada Niat Untuk Tinggalkan Arsenal Januari Ini Walaupun Kontrak Akan Tamat Hujung Musim Nanti

Pemain antarabangsa Wales, Aaron Ramsey tidak bercadang untuk meninggalkan Arsenal Januari nanti walaupun perbincangan untuk menyambung kontraknya di Emirates sudah terhenti.

Kontrak Ramsey bersama Arsenal akan tamat pada penghujung musim nanti dan beliau akan dibenarkan untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana kelab di luar England sebaik sahaja jendela perpindahan Januari dibuka.

Ramsey dan Arsenal telah memberhentikan perbincangan mengenai lanjutan kontrak

Ramsey pada asalnya bercadang untuk menandatangani kontrak baru bersama Arsenal dan segala-galanya hampir dipersetujui. Walau bagaimanapun, rombakan besar-besaran yang berlaku di Arsenal beberapa bulan lalu menyebabkan permintaan Ramsey dalam kontrak barunya dikaji kembali.

Perubahan tersebut menyebabkan perbincangan antara pihak kelab dan ejen Ramsey terhenti kerana tiada persetujuan dapat dicapai setakat ini. Ramsey menyertai Arsenal pada tahun 2008 dari Cardiff tetapi musim ini berkemungkinan besar menjadi musim terakhirnya selaku pemain Arsenal.

Ramsey mendedahkan rancangannya untuk menghormati kontraknya bersama Arsenal dan kekal sehingga penghujung musim. Namun begitu, Arsenal bercadang untuk mencari pembeli yang berminat pada jendela perpindahan Januari nanti kerana tidak mahu kehilangan khidmat Ramsey secara percuma.

Besar kemungkinan musim terakhir Ramsey bersama Arsenal. Rugi

“Saya masih lagi mempunyai kontrak bersama Arsenal dan saya akan berusaha sehabis mungkin untuk memberikan yang terbaik kepada Arsenal dan cuba membantu kelab ini meraih sesuatu yang istimewa musim ini.”

“Setakat ini, segalanya berlangsung dengan baik untuk Arsenal. Mengenai isu kontrak, saya ingat kami berada dalam kedudukan yang baik untuk menandatangani kontrak baru tetapi segalanya sudah berubah sekarang.”

“Jadi sekarang saya hanya boleh menumpukan perhatian terhadap bola sepak dan memberikan yang terbaik kepada Arsenal musim ini. Selebihnya, saya akan serahkan kepada pihak kelab untuk menentukan masa depan saya.”

Musim ini merupakan musim ke-10 Ramsey bersama Arsenal dan beliau telah menjaringkan 59 gol dari 338 penampilan sejak tahun 2008.

Ramsey turut memberi bayangan persembahan beliau tidak terjejas dengan situasi kontraknya bersama Arsenal, seperti yang dilihat berlaku ketika beliau menjaringkan gol ke-3 Arsenal ketika mereka menumpaskan Fulham 5-1 hujung minggu lalu.

Apabila ditanya adakah beliua kecewa tiada tawaran kontrak baru dari Arsenal untuk beliau terus kekal, Ramsey berkata beliau perlu menerimanya kerana ia merupakan asam garam dalam bola sepak.

Ramsey pernah dilantik menjadi kapten Wales suatu masa dahulu

“Ia merupakan keputusan yang Arsenal telah ambil dan perkara sebegini berlaku dalam bola sepak. Saya perlu menerimanya dengan hati terbuka dan bermain sebaik yang mungkin. Itu merupakan fokus utama saya ketika ini, termasuk memberikan aksi yang terbaik buat Arsenal.”

Pengurus Arsenal, Unai Emery turut berkata persembahan Ramsey tidak akan terjejas sama sekali dengan isu kontraknya.

“Setiap pemain mempunyai isu yang berbeza dengan kontrak mereka. Ramsey merupakan pemain penting kami dan beliau akan membantu pasukan ini dengan persembahan beliau.”

“Saya mahu membantu beliau mempersiapkan diri bagi menghadapi perlawanan supaya beliau berada dalam keadaan yang terbaik.”

BACA:  Wenger Tidak Akan Terima Tawaran Dari Pasukan Liga Perdana Inggeris