Raphael Varane masih ingat dengan jelas detik 23 minit pertama dia beraksi dalam debutnya bersama kelab Serie A, Como.
Dia hanya melakukan pergerakan biasa tetapi sebaik sahaja lutut kirinya terasa sakit, dia sudah tahu – masa untuk berhenti.
“Mereka suruh saya jangan bertindak melulu,” kata Varane “Tapi jauh di dalam hati, saya sudah tahu.”
Hampir 12 tahun lalu, ketika bermain bersama Real Madrid, Varane mengalami kecederaan serius pada lutut kanannya – meniskusnya koyak dan dia perlu menjalani pembedahan. Selepas itu dia mengubah posturnya, membina pasukan sokongan untuk membantunya mengekalkan keseimbangan, memaksa dirinya ke tahap fizikal yang lebih tinggi dan mengubah cara permainannya – kurang bertahan secara agresif tetapi lebih kepada membaca pergerakan lawan.
Dengan perubahan itu, dia berjaya menjuarai Piala Dunia 2018 dan 3 kali berturut-turut Liga Juara-Juara (2016-2018), menjadikan koleksi gelarannya bersama Madrid sebanyak 4 trofi UCL.
Apabila lutut kirinya pula cedera pada Ogos lalu dalam perlawanan Piala Itali menentang Sampdoria, lutut yang selama ini menampung kelemahan lutut kanannya, dia anggap itu sebagai tanda pengakhiran sudah semakin dekat.
“Saya fikir, ‘Lutut ini sudah penat dan dah tak larat lagi’.”
Selepas membuat 360 penampilan dalam tempoh 10 tahun bersama Madrid dan memenangi 18 trofi, kemudian bermain 95 perlawanan untuk Manchester United dengan kejayaan menjulang Piala Carabao dan Piala FA serta bermain 93 kali untuk Perancis dan menang Liga Negara-Negara 2020-21 serta mara ke final Piala Dunia 2022, akhirnya pada usia 31 tahun, Varane membuat keputusan untuk bersara.
Walaupun sedikit kecewa dan rasa bersalah kerana tidak dapat membantu Como di atas padang, dia menerima hakikat itu dan kini bersedia untuk peranan baharunya sebagai ahli lembaga kelab. Bersama Osian Roberts (ketua pembangunan kelab) dan Juliette Bolon (ketua program pendidikan) dia mahu membantu perkembangan pemain muda dan membimbing mereka untuk bersedia menghadapi kehidupan selepas bola sepak.
Musim panas ini, Varane akan menyambut pemain muda ke kem latihan di Como, di mana bola sepak akan digabungkan dengan pendidikan dan budaya.
“Saya suka membina projek yang ada visi dan strategi. Kami mahu mencipta sesuatu yang benar-benar membantu pemain muda memahami cara untuk maju, bukan hanya sebagai pemain bola sepak tetapi juga sebagai individu. Kami juga mahu menanam nilai yang akan berguna kepada mereka tidak kira apa yang berlaku.”
Kenangan Manis dan Rindu pada Bola Sepak
Bekas pertahanan tengah ini masih lagi berlatih untuk mengekalkan kecergasannya walaupun sudah bersara. Dia kerap ke gim, berlari dan bermain padel. Namun, tiada apa yang boleh menggantikan rasa keterujaan bermain di pentas bola sepak terbesar, berdepan penyerang seperti Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo.
“Adrenalin, ketegangan, tekanan – semua itu membuatkan saya bermain lebih baik. Saya lebih fokus kerana tahu saya tak boleh buat silap. Itulah yang memaksa saya meningkatkan permainan saya.”
Walaupun dia merindui aksi di padang, dia kini menikmati pengalaman baru dalam bola sepak terutamanya projek pembangunan pemain muda di Como.
“Ia cuma berbeza. Bukan lebih baik atau lebih teruk. Cuma kehidupan yang lain.”
Kehebatan Real Madrid dan Falsafah Bertahan Varane
Ketika di Madrid, Varane bermain bersama bintang besar seperti Gareth Bale, Karim Benzema, Luka Modric, Marcelo, Sergio Ramos dan Ronaldo.
“Anda rasa seperti gladiator, seorang askar dalam misi. Bila masuk ke padang, anda bersedia memberikan segalanya untuk menang.”
Bagi Varane, kejayaan Madrid bukan hanya kerana bakat mereka tetapi juga kestabilan dalam skuad yang dipenuhi pemimpin serta mentaliti yang mereka kongsi.
“Secara psikologi, kami tidak pernah rasa kami pasukan pilihan. Kami kena bermain seperti pasukan kecil yang menentang kelab besar. Kami ada keseimbangan antara rendah diri dan sedikit keangkuhan. Kami tahu kelebihan kami tapi tak pernah terlalu yakin. Kalau kami leka sedikit, semuanya boleh musnah.”
Satu perkara unik di Madrid yang mengejutkan Varane adalah mereka jarang bercakap sesama sendiri di atas padang.
“Semua orang tahu apa yang perlu dilakukan. Kami bertukar strategi tanpa perlu bercakap.”
Varane juga dikenali kerana gaya pertahanannya yang pintar dan bersih. Di Sepanyol, dia digelar “Don Limpio” (Mr Clean) kerana jarang membuat kesilapan atau menerima kad.
“Saya suka membaca pergerakan penyerang dan mencuri bola sebelum mereka sempat bertindak. Jika saya boleh merampas bola sebelum pertembungan berlaku, itu cara terbaik kerana penyerang tak sempat bertindak.”
Cabaran di Manchester United dan Hubungan dengan Ten Hag
Selepas sedekad di Madrid, Varane mencari cabaran baru di Liga Perdana Inggeris dengan menyertai Manchester United pada 2021.
“United adalah kelab yang selalu membuat saya bermimpi. Stadium, penyokong, sejarahnya – semuanya istimewa.”
Tetapi dia segera menyedari bahawa United berada dalam situasi yang jauh berbeza dengan Madrid.
“Di Madrid, kami bermain secara naluri. Di United, gaya permainan lebih kaku, setiap pergerakan ditentukan lebih awal oleh jurulatih (Ten Hag).”
Hubungan Varane dengan Ten Hag juga “sukar” dan “kadang-kadang tegang”.
Pada Oktober 2023, Varane tiba-tiba diketepikan selama 2 bulan tanpa penjelasan daripada Ten Hag. Dia hanya diberitahu ia adalah “keputusan terbaik untuk pasukan”.
“Saya beritahu dia (Ten Hag) ada masalah dengan hubungan antara jurulatih dan pasukan. Tapi selepas itu, saya tidak bermain selama 2 bulan.”
Varane juga menyedari bahawa Ten Hag sering menggunakan pemain sebagai contoh untuk menunjukkan kekuasaannya.
“Dia mahu dihormati melalui ketakutan. Selalu ada satu pemain yang dia jadikan contoh, seperti Ronaldo dan Jadon Sancho.”
Walaupun begitu, Varane tetap menghargai peluangnya untuk bermain di final Piala FA dan membantu United menewaskan Manchester City.
“Bila masuk ke padang sebagai gladiator dan keluar sebagai pemenang, itu perasaan terbaik.”
Namun, dia terkejut apabila Ten Hag masih dikekalkan sebagai jurulatih selepas musim yang penuh masalah.
“Saya terkejut dia masih kekal. Hubungan dengan pasukan sudah tiada.”
Kelemahan Struktur Manchester United
Bagi Varane, masalah utama United adalah struktur kelab yang tidak jelas.
“Di Madrid, mereka ada sistem yang jelas. Di United, terlalu ramai orang terlibat dalam membuat keputusan tapi tiada siapa yang benar-benar bertanggungjawab.”
Dia juga berpendapat bahawa United terlalu terdesak mahu menang segera dan sering membuat keputusan tergesa-gesa.
“Anda perlu bertenang dalam ribut dan percaya pada proses pembangunan jangka panjang.”
Penutup: Kehidupan Baru di Como
Walaupun perjalanan kariernya penuh liku, Varane melihat ke depan dengan penuh semangat.
Di Como, dia mahu membantu pemain muda bukan sahaja dalam bola sepak, tetapi juga dalam kehidupan.
“Ia bukan sekadar tentang kemenangan. Ia tentang membina sesuatu yang berpanjangan dan memberi kesan kepada generasi seterusnya.”