Barcelona Sah Dapatkan Khidmat Kevin-Prince Boateng

Dalam pengumuman yang agak mengejutkan, Barcelona mengumumkan mereka telah menandatangani Kevin-Prince Boateng dari Sassuolo secara pinjaman sehingga penghujung musim ini.

Boateng baru sahaja menyertai Sassuolo pada musim panas yang lalu tetapi peluang untuk bermain bersama Lionel Messi dan pemain hebat yang lain amat sukar untuk ditolak.

Boateng bakal menambah sengat di jentera serangan Los Cules

Boateng akan berpindah ke Nou Camp secara pinjaman terlebih dahulu dengan Barcelona mempunyai pilihan untuk menjadikan perpindahan ini menjadi tetap pada hujung musim nanti.

Barcelona dilaporkan membayar  €2 juta kepada Sassuolo sebagai yuran pinjaman dan jika mereka mahu menjadikan Boateng sebagai pemain tetap, sejumlah €8 juta perlu dibayar pada masa hadapan.

Boateng yang kini berusia 31 tahun dijangka akan dipamerkan kepada khalayak umum pada lewat hari ini termasuk sesi menandatangani kontrak dan sesi bergambar di padang Nou Camp. Satu sidang media juga akan diadakan selepas itu.

Pengumuman mengenai perpindahan dibuat menerusi laman web rasmi Barcelona malam tadi.

Boateng bakal menggayakan jersi No.19 musim ini

“Kevin-Prince Boateng adalah pemain yang akan cepat untuk menyesuaikan diri dengan pasukan ini. Dengan pengalaman beraksi dalam empat liga terbesar di Eropah, Liga Perdana Inggeris, Bundesliga, Serie A dan La Liga, beliau adalah pemain yang telah menjaringkan gol kemana sahaja beliau pergi.”

“Tambahan pula, Boateng adalah pemain yang versatile. Semasa bermain untuk Las Palmas dengan Quique Setien sebagai jurulatih, beliau bermain sebagai penyerang, dengan peranan sebagai No.9”.

“Namun begitu, beliau juga boleh beraksi lebih ke bawah seperti yang dilakukannya ketika bersama AC Milan, menjaringkan 2 gol menentang Barcelona ketika mewakili Rossoneri.”

“Kemampuan beliau membawa pemain lain ke dalam permainan bermakna beliau adalah pemain yang cemerlang untuk beraksi di belakang penyerang.”

Sebelum pengumuman rasmi dari Barcelona, Boateng sendiri mengesahkan beliau akan menyertai pasukan juara bertahan La Liga itu dalam satu temu ramah bersama Sky Sports.

“Barca saya datang. Saya sedih untuk meninggalkan Sassuolo tetapi ini adalah peluang yang sangat hebat.”

Boateng juga menyuruh peminat melupakan apa yang pernah dikatakan beliau mengenai Barcelona dan Real Madrid sebelum.

Dalam satu temu ramah pada tahun 2017, Boateng berkata beliau lebih suka Real Madrid dari Barcelona. Boateng juga berkata beliau sebenarnya boleh bermain untuk Real Madrid jika beliau berusaha lebih keras pada awal kariernya.

“Jangan tanya saya mengenai Real Madrid… itu semua perkara lepas. Saya hanya mahu fokus pada Barcelona dan saya harap mampu menjaringkan gol di Santiago Bernabeu dalam perlawanan El-Clasico nanti.”

Barcelona bakal menjadi kelab ke-4 Boateng dalam 3 musim terakhir. Pada musim 2016/2017, beliau beraksi untuk Las Palmas di La Liga dan berjaya menjaringkan 10 dari 29 perlawanan. Musim berikutnya beliau menyertai Eintracht Frankfurt dan berjaya menjaringkan 6 gol dari 31 perlawanan Bundesliga.

BACA:  "Terhebat Di Dunia" - Shakira Puji Suami Selepas Aksi El Clasico