Tiada Kelab Yang Lebih Huru Hara Sekarang Ini Berbanding Barcelona

Pemain terbaik dunia, Lionel Messi sudahpun sah menyarung jersi pasukan gergasi Liga Perancis, Pairs Saint Germain dan pemergian pemain ini daripada Barcelona masih ditangisi bersulam amarah di kalangan para penyokong setia kelab.

Ada yang menunding jari kepada bekas presiden kelab, Joseph Maria Bartomeu, yang dikatakan sebagai punca segala huru-hara yang terjadi di kelab yang berpangkalan di Nou Camp tersebut.

Mana tidaknya, sepanjang dia menjadi presiden kelab, dia dikatakan telah menaikkan gaji pemain hasil daripada produk La Masia dengan tinggi – dengan alasan mereka adalah penerus tradisi kelab.

Tambahan pula, pemain baharu yang dibawa masuk ketika zamannya seperti Ousmane Dembele, Antoine Griezmann, Philippe Coutinho dan Miralem Pjanic turut diberikan gaji yang tinggi, dengan berhujah bahawa untuk mendekatkan taraf pendapatan mereka dengan kapten Messi.

Kini kesemua pemain tersebut bagaikan digantung tak bertali, memandangkan masalah kewangan yang dihadapi oleh Barcelona pada hari ini.

Tidak dapat dinafikan, kesemua kelab bola sepak di dalam dunia ini, terutamanya di Eropah, telah kehilangan punca pendapatan daripada kutipan hasil tiket perlawanan di stadium dan impak ini sebenarnya sangat besar buat Barcelona sendiri.

Bayangkan, Nou Camp mampu diisi seramai 99,354 penonton. Pada perlawanan biasa, tiket paling murah boleh didapatkan pada harga €75 dan paling tinggi pada harga €225. Dengan purata harga tiket bernilai €130, dan mengambil kira purata kehadiran penyokong ke stadium berjumlah 71,500 pada musim 2018-19, Barcelona telah kehilangan pendapatan sebanyak €10 juta untuk satu perlawanan.

Jika didarab dengan 19 perlawanan La Liga di tempat sendiri untuk semusim, keuntungan yang telah hilang daripada kantung kelab tersebut adalah hampir €200 juta. Jika dicampurkan dengan pendapatan kutipan tiket untuk kesemua pertandingan seperti Copa Del Rey dan Liga Juara-Juara UEFA, kerugian keseluruhan daripada kutipan tiket adalah sekitar €275 juta semusim dan kelab La Liga bermain tanpa kehadiran penyokong sepanjang musim 2020-21.

Ditambah pula dengan kegagalan mereka untuk layak lebih jauh dalam UCL, mereka gagal untuk menambahkan dan menebalkan kantung pasukan.

Dengan perbelanjaan gaji pemain yang sangat tinggi seperti pembayaran gaji pemain, Barcelona mendapati kelab mereka berada dalam situasi yang sangat huru-hara, atau bak kata orang putih – deep shit.

Disebabkan oleh kehilangan mata pencarian, kelab tersebut telah mengumpulkan hutang bernilai €1.3 billion!

Lebih ‘menyeksa’ kelab ini, La Liga mempunyai Polisi Kawalan Ekonomi di mana kelab hanya dibenarkan untuk berbelaja bagi pembayaran gaji pasukan utama, simpanan dan akademi pada setiap musim pada kadar 70 peratus daripada keuntungan kasar kelab pada musim sebelumnya.

Contohnya, keuntungan Barcelona pada musim lalu adalah €100 juta, maka kelab ini dibenarkan untuk membelanjakan €70 juta sahaja pada musim ini untuk membayar gaji para pemain dan jurulatih.

Setiap kali sebelum musim baru bermula, pentadbir La Liga telah menetapkan had perbelanjaan untuk setiap kelab dan had untuk La Blaugrana telah ditetapkan pada €347 juta, berbanding seteru utama mereka, Real Madrid, yang mendapat had €470 juta. Manakala juara La Liga musim lalu Atletico Madrid pula diletakkan had perbelanjaan maksimum €217 juta.

Jumlah yang diterima oleh Barcelona ini sangatlah jauh jika dibandingkan dengan nilai yang mereka peroleh pada permulaan musim 2019-20, iaitu €671 juta.

Menjadikan episod malang buat presiden kelab sekarang ini, Joan Laporta, semakin bertambah, pemain utama mereka, Messi pula tamat kontrak pada bulan Jun.

Jika dikekalkan gaji Messi seperti pada musim lalu – sekitar €71 juta setahun, nisbah perbelanjaan gaji kelab tersebut adalah pada 110 peratus lebih tinggi daripada kadar yang dibenarkan – 70 peratus.

Pada suatu ketika, Messi dilihat bersetuju untuk memotong gajinya separuh daripada jumlah yang biasa dia dapat, namun nisbah perbelanjaan untuk gaji masih lagi tinggi iaitu pada paras 90 peratus – jauh daripada nilai yang ditetapkan.

Pada masa yang sama, Barcelona juga telah menandatangani empat pemain baharu – Memphis Depay, Sergio Aguero, Eric Garcia dan Emerson Royale dan nasib mereka masih lagi terumbang-ambing kerana masih belum ada ruang untuk slot gaji dalam akaun pasukan, sekaligus tidak dapat didaftarkan bersama La Liga.

Dengan Messi sudahpun sah menyertai PSG, sekurang-kurangnya terdapat sedikit kelegaan di kepala para akauntan kelab untuk menyusun kewangan bagi mengikuti garis panduan yang ditetapkan oleh La Liga, tetapi itu masih belum cukup untuk mereka daftarkan empat pemain baharu tersebut dengan tarikh tutup pendaftaran pemain adalah pada 31 Ogos 2021 untuk La Liga, dan 2 September 2021 untuk UCL.

UEFA pula telah meletakkan syarat bahawa pemain yang didaftarkan untuk UCL perlu juga didaftarkan dalam liga tempatan.

Pilihan yang ada di tangan Barceona hanya dua – membuat potongan 50 peratus gaji untuk kesemua pemain dan menjual pemain yang mampu memberikan pulangan segera kepada kelab.

Walaubagaimanapun, kedua-dua pilihan agak sukar untuk dilaksanakan kerana tidak semua pemain sanggup untuk menerima potongan gaji separuh daripada apa yang mereka dapat pada musim lalu dan disebabkan keengganan inilah Griezmann menjadi sasaran kemarahan para penyokong.

Telah timbul cerita sebelum ini di mana pemain antarabangsa Perancis ini enggan menerima cadangan pemotongan separuh gaji, dan para penyokong menganggap dia adalah punca kenapa kewangan Barcelona meruncing dan membuatkan kelab tersebut tidak dapat mendaftarkan Messi untuk musim baharu.

Pilihan kedua juga agak sukar. Pemain bergaji mahal seperti Griezmann, Coutinho, Dembele pasti tidak mudah untuk mencari kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat mereka di kala musim gawat ini. Jika ada sekalipun, nilai yuran perpindahan pasti tidak dapat diminta tinggi oleh Barcelona kerana kesemua pemain ini bukanlah pemain yang konsisten menyinar sepanjang musim lalu.

Pemain lain yang mungkin mempunyai nilai untuk dijual adalah Martin Braithwaite – penyerang tengah pasukan kebangsaan Denmark, namun pada masa ini hanya dia sahaja penyerang tengah yang ada dalam tangan Ronald Koeman untuk mengharungi musim baru, tambahan pula jika Aguero dapat didaftarkan sekalipun, dia masih tidak dapat memulakan kempen La Liga dalam masa terdekat selepas mengalami kecederaan peha dan terpaksa berehat selama sembilan minggu.

Laporta mungkin boleh menjual pemain-pemain muda seperti Junior Firpo, Jean-Clair Todibo, Konrad de la Fuente, Francisco Trincao dan Carles Alena tetapi hasil daripada jualan mereka juga masih tidak mampu untuk meletakkan perbelanjaan gaji kelab kepada nisbah 70 peratus yang ditetapkan La Liga.

Namun, mungkin Barcelona akan mendapat sedikit ruang dengan penambahan pendapatan jika mereka menjual pemain yang semakin mencipta nama di Euro 2020 dan Sukan Olimpik – Pedri.

Pemain ini mungkin boleh dijual pada €50-60 juta, tetapi mereka akan kehilangan lagenda yang sedang dalam pembuatan.

Selain itu, mereka mungkin terpaksa menjual pemain utama kelab yang lain seperti Frenkie de Jong, Anders Ter Stegen dan Ronald Araujo demi melegakan kantung pasukan.

Tetapi, berbaloikah?

Kesimpulannya, Barcelona kini memang menjadi pasukan yang paling huru-hara. Tiada penyelesaian segera untuk krisis ini. Dengan musim baru yang akan bermula tidak lama lagi, mungkin akan ada beberapa pemain yang tercicir daripada pendaftaran dengan La Liga dan UEFA.

Mungkin juga kita akan saksikan Barcelona akan menamatkan saingan liga di luar empat pasukan teratas, melengkapkan situasi deep shit mereka.

Sumber : The Athletic

BACA:  Barcelona Ikut Jejak Manchester United Bermain Di Europa League