RASMI: Eden Hazard Sertai Real Madrid Dengan Kontrak Selama 5 Tahun

Real Madrid dan Chelsea akhirnya mengesahkan Eden Hazard akan bermain di Santiago Bernanbeu musim hadapan selepas pemain tersebut bersetuju untuk menandatangani kontrak selama 5 tahun.

Pemain antarabangsa Belgium itu akan diumumkan sebagai pemain Real Madrid secara rasmi dalam satu majlis pengenalan pada 13 Jun nanti (Khamis) selepas kedua-dua kelab mencapai persetujuan mengenai yuran perpindahan yang dilaporkan mampu mencecah £130 juta, termasuk bonus.

Hazard akhirnya meninggalkan Chelsea selepas 6 tahun merumput di London

Ia merupakan rekod kelab bagi Real Madrid yang mana sebelum ini dipegang oleh Gareth Bale dengan yuran perpindahan sekitar £86 juta pada September 2013.

Hazard hanya mempunyai baki kontrak selama 1 tahun tetapi beliau telah menyatakan hasratnya secara terbuka untuk berpindah selepas membantu Chelsea membenam Arsenal dalam perlawanan akhir Europa League minggu lalu. Hazard bermain cemerlang dalam perlawanan tersebut apabila menyumbang 2 gol untuk membantu Chelsea meraih kemenangan selesa 4-1 ke atas Arsenal.

Berikuta pengumuman rasmi yang dibuat Real Madrid dan Chelsea mengenai perpindahan tersebut, Hazard turut mengeluarkan kenyataan rasmi melalui laman sosialnya untuk mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih kepada semua pihak di Stamford Bridge.

“Anda tahu saya akan menyertai Real Madrid. Ia bukan rahsia lagi impian saya sejak kecil adalah untuk bermain dengan Real Madrid.”

“Sekarang Chelsea dan Real Madrid sudah mencapai persetujuan mengenai perpindahan ini. Saya berharap anda semua dapat memahami yang saya perlu membawa karier saya  ke jilid yang seterusnya, sama seperti anda semua apabila anda mempunyai peluang untuk memenuhi impian anda.”

“Meninggalkan Chelsea adalah keputusan paling besar dan sukar pernah saya lakukan sepanjang karier saya. Sekarang selepas segalanya sudah diumumkan secara terbuka, saya ingin menegaskan yang saya sangat mencintai setiap detik bersama Chelsea, dan tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk bermain untuk kelab lain.”

Direktor Chelsea, Marina Granovskaia juga mengeluarkan kenyataan rasmi  terhadap perpindahan Hazard ke Real Madrid.

“Walaupun kami sedih untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Eden, kami memberitahu secara jelas yang kami ingin beliau terus kekal. Kami menghormati keputusan Eden yang ingin mencuba cabaran baru di negara lain dan memenuhi impiannya sejak kecil yang ingin bermain untuk Real Madrid.”

“Memori yang beliau tinggalkan tidak akan pudar. Beliau memberikan hiburan kepada Chelsea dan turut memenangi banyak perlawanan untuk kami, jadi disebabkan kami amat berterima kasih kepada beliau.”

Jersi Hazard sudah mula dijual di Lapangan Terbang Barcelona

“Beliau seorang yang profesional sepanjang berada di kelab ini, dan juga individu yang menakjubkan untuk bekerjasama.”

“Kami akan menanti kepulangan beliau di Stamford Bridge dengan tangan terbuka pada masa hadapan.”

Hazard bakal menjadi pembelian musim panas ke-2 Real Madrid selepas penyerang Frankfurt, Luka Jovic sah menyertai Los Blancos minggu lalu.

BACA:  Tiba Tiba Puji Melambung Kukureya, Peminat Man United Jilat Ludah Sendiri