RASMI: Kogi Sah Sertai Chungbuk Cheongju FC

Secara rasminya Kogileswaran Raj A/l Mohana Raj telah sah menyertai Chungbuk Cheongju FC yang beraksi di K-League 2 yang merupakan divisyen dua dalam piramid bole sepak Korea Selatan.

Dengan berita rasmi ini, maka sahlah Kogileswaran Raj A/l Mohana Raj menjadi pemain Malaysia pertama mengorak langkah dan bermain di Liga Bola Sepak Korea Selatan.

Pemain tengah menyerang berusia 24 tahun itu sebelum ini dikhabarkan telah mendapat nasihat daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum bersetuju dengan perpindahan tersebut.

Perkhabaran Kogileswaran untuk beraksi di luar Liga Malaysia mulai tersebar sejak Disember lalu walaupun pemain itu turut mendapat minat daripada Selangor FC dan Penang FC untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2023.

Melalui laman Instagramnya, Kogileswaran Raj A/l Mohana Raj telah mengumumkan berita gembira ini apabila diikat kontrak selama setahun:

“RASMINYA, saya telah menandatangani kontrak setahun dengan kelab K2 Chungbuk Cheongju FC pada 10 Jan. Tiba di Bangkok semalam untuk menyertai latihan pra musim kelab itu.”

“Mengharapkan cabaran baharu ini dan akan memberikan yang terbaik untuk membanggakan Malaysia.”

“Terima kasih banyak @chfc_2023 kerana memiliki saya…pasti akan melakukan yang terbaik untuk kelab yang hebat ini!”

Chungbuk Cheongju

Chungbuk Cheongju merupakan kelab bola sepak berpangkalan di Cheongju, iaitu sebuah wilayah yang terletak di bahagian tengah Korea Selatan.

Kelab ini ditubuhkan 21 tahun lalu, pada mulanya sebagai kelab amatur dan sejak daripada itu telah melalui beberapa penjenamaan semula untuk kekal relevan dan bersaing di tahap lebih tinggi.

Musim lalu kelab tersebut dikenali sebagai Cheongju FC sebelum dikenali sebagai Chungbuk Cheongju FC untuk bersaing di K-League 2 setelah penstrukturan semula divisyen bola sepak Korea Selatan.

Beraksi di K-League 3 pada musim lalu, Cheongju FC sekadar menamatkan saingan liga di kedudukan ke-14 daripada 16 pasukan yang mengambil bahagian.

Ini merupakan satu berita gembira buat bola sepak Malaysia yang menyaksikan satu perkembangan yang bagus, diharap pernghijrahan Kogileswaran akan menjadi pembuka pintu buat pemain lain mengikut jejak yang sama.

Pemain yang baru berusia 24 tahun itu dikhabarkan mahu mendapatkan pengalaman baharu selain daripada mengembangkan kariernya ke peringkat yang lebih tinggi dan liga yang lebih berprestij.

Kogileswaran bukan satu-satunya pemain dari rantau ini yang akan beraksi di K-League 2. Selain Kogileswaran, pemain Indonesia, Asnawi Mangkualam Bahar turut beraksi di kancah saingan yang sama bersama Ansan Greeners.

Asnawi Mangkualam Bahar merupakan pemain pertama Indonesia yang beraksi di Liga Korea Selatan. Pada Januari 2021, Asnawi Mangkualam mengorak langkah besar untuk karier bola sepaknya apabila menyertai pasukan kelab Korea Selatan, Ansan Greener yang beraksi di K League 2.

Ini bermakna kedua-dua pemain berpotensi bertemu satu sama lain di dalam perlawanan K-League 2 yang dijangka akan bermula lewat Februari hadapan.

Satu perkara yang pasti, beraksi di K-League 2 akan memberikan platform kepada Kogileswaran untuk menarik perhatian pencari bakat kelab-kelab utama Korea Selatan selepas ini.

Ia tidak menghairankan bagaimana kelab seperti Chungbuk Cheongju boleh berminat dan mengesan pemain seperti Kogileswaran di mana Piala AFF turut disiarkan di Korea Selatan.

Aksi cemerlang beliau bersama PJ City sejak beberapa musim lalu berjaya menarik perhatian Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya pada ketika itu, Tan Cheng Hoe untuk diserapkan ke skuad senior kebangsaan untuk menghadapi kejohanan Piala AFF 2020.

Dan di Piala AFF 2020, Kogileswaran turut menjadi antara pemain palung menyerlah walaupun skuad negara pada ketika itu gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.

BACA:  Kogileswaran Bakal Beraksi Di K-League, Pemain Malaysia Pertama Bermain Di Liga Korea