Kogileswaran Bakal Beraksi Di K-League, Pemain Malaysia Pertama Bermain Di Liga Korea

Pemain kebangsaan Malaysia, Kogileswaran Raj A/l Mohana Raj, dilaporkan bakal beraksi di K-League dan bakal menjadi pemain Malaysia pertama yang bermain di Liga Bola Sepak Korea Selatan.

Bekas pemain Petaling Jaya City FC (PJ City), Kogileswaran Raj dikhabarkan disambar oleh kelab K-League 2, Chungbuk Cheongju FC yang beraksi di divisyen dua untuk musim baharu Liga Korea Selatan.

Pemain tengah menyerang berusia 24 tahun itu sebelum ini dikhabarkan telah mendapat nasihat daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum bersetuju dengan perpindahan tersebut.

Perkhabaran Kogileswaran untuk beraksi di luar Liga Malaysia mulai tersebar sejak Disember lalu walaupun pemain itu turut mendapat minat daripada Selangor FC dan Penang FC untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2023.

Menurut laporan dari Flash Sukan, K. Kogileswaran akan terbang ke Korea Selatan pada hari ini untuk menandatangani kontrak selama setahun bersama kelab baharunya itu.

“R Kogileswaran terbang ke Korea Selatan hari ini untuk menandatangi kontrak bersama kelab baharu esok. Kogi telah mendapat nasihat Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang meyokong dan mengucapkan selamat maju jaya.”

“Difahamkan kelab terbabit adalah Chungbuk Cheongju FC.”

Ini merupakan satu berita gembira buat bola sepak Malaysia yang menyaksikan satu perkembangan yang bagus, diharap pernghijrahan Kogileswaran akan menjadi pembuka pintu buat pemain lain mengikut jejak yang sama.

Pemain yang baru berusia 24 tahun itu dikhabarkan mahu mendapatkan pengalaman baharu selain daripada mengembangkan kariernya ke peringkat yang lebih tinggi dan liga yang lebih berprestij.

Kogileswaran bukan satu-satunya pemain dari rantau ini yang akan beraksi di K-League 2. Selain Kogileswaran, pemain Indonesia, Asnawi Mangkualam Bahar turut beraksi di kancah saingan yang sama bersama Ansan Greeners.

Asnawi Mangkualam Bahar merupakan pemain pertama Indonesia yang beraksi di Liga Korea Selatan. Pada Januari 2021, Asnawi Mangkualam mengorak langkah besar untuk karier bola sepaknya apabila menyertai pasukan kelab Korea Selatan, Ansan Greener yang beraksi di K League 2.

Ini bermakna kedua-dua pemain berpotensi bertemu satu sama lain di dalam perlawanan K-League 2 yang dijangka akan bermula lewat Februari hadapan.

Chungbuk Cheongju

Chungbuk Cheongju merupakan kelab bola sepak berpangkalan di Cheongju, iaitu sebuah wilayah yang terletak di bahagian tengah Korea Selatan.

Kelab ini ditubuhkan 21 tahun lalu, pada mulanya sebagai kelab amatur dan sejak daripada itu telah melalui beberapa penjenamaan semula untuk kekal relevan dan bersaing di tahap lebih tinggi.

Musim lalu kelab tersebut dikenali sebagai Cheongju FC sebelum dikenali sebagai Chungbuk Cheongju FC untuk bersaing di K-League 2 setelah penstrukturan semula divisyen bola sepak Korea Selatan.

Beraksi di K-League 3 pada musim lalu, Cheongju FC sekadar menamatkan saingan liga di kedudukan ke-14 daripada 16 pasukan yang mengambil bahagian.

Satu perkara yang pasti, beraksi di K-League 2 akan memberikan platform kepada Kogileswaran untuk menarik perhatian pencari bakat kelab-kelab utama Korea Selatan selepas ini.

Ia tidak menghairankan bagaimana kelab seperti Chungbuk Cheongju boleh berminat dan mengesan pemain seperti Kogileswaran di mana Piala AFF turut disiarkan di Korea Selatan.

Aksi cemerlang beliau bersama PJ City sejak beberapa musim lalu berjaya menarik perhatian Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya pada ketika itu, Tan Cheng Hoe untuk diserapkan ke skuad senior kebangsaan untuk menghadapi kejohanan Piala AFF 2020.

Dan di Piala AFF 2020, Kogileswaran turut menjadi antara pemain palung menyerlah walaupun skuad negara pada ketika itu gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.

Penghijrahan Asnawi ini adalah atas cadangan ketua jurulatih pasukan Indonesia, Shin Tae Yong yang percaya dengan potensi yang ada pada Asnawi.

Shin Tae Young berjaya meyakinkan Asnawi Mangkualam untuk keluar dari zon selepas dan mengambil peluang untuk beraksi di liga yang lebih mencabar.

Asnawi Mangkualam menyahut seruan Shin Tae Young walaupun akan mendapat gaji yang lebih rendah dan peluang beraksi yang terhad.

Adakah penghijrahan Kogileswaran ini juga atas saranan Kim Pan Gon selain Datuk Hamidin Mohd Amin? Tak kisah siapa menyarankan namun perpindahan Kogileswaran ini merupakan satu petanda positif buat bola sepak Malaysia.

****Artikel ini telah dirembat dari GrandstandKita.net selepas mendapat kebenaran.

BACA:  RASMI: Kogi Sah Sertai Chungbuk Cheongju FC