Ketua pengadil bola sepak England, Howard Webb, menyatakan bahawa pemain Arsenal, Myles Lewis-Skelly tidak sepatutnya dilayangkan kad merah dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Wolverhampton Wanderers pada bulan lalu. Ia kerana terjahan yang dilakukannya tidak mempunyai “kekuatan berlebihan atau unsur kekasaran.”
Pemain berusia 18 tahun itu dilayangkan kad merah oleh pengadil Michael Oliver pada minit ke-43 perlawanan pada 25 Januari selepas melakukan terjahan ke atas pertahanan Wolves, Matt Doherty.
Arsenal kemudian membuat rayuan terhadap hukuman penggantungan 3 perlawanan yang dikenakan kepada Lewis-Skelly dan rayuan itu berjaya. Hukuman tersebut akhirnya dibatalkan.
Webb menjelaskan bahawa pengadil perlawanan, Michael Oliver menganggap insiden itu sebagai “terjahan keras” dan Lewis-Skelly layak menerima kad merah. Namun, bekas Webb menyatakan bahawa dia sendiri lebih suka sekadar memberikan kad kuning dalam situasi tersebut.
Dalam program Match Officials Mic’d Up yang dikeluarkan pada Selasa, 18 Februari, Webb berkata:
“Oliver melihat seorang pemain bergerak ke arah lawan tanpa keupayaan untuk bermain bola, tanpa niat untuk menyentuh bola dan dengan tujuan untuk menghentikan lawan. Dia juga melihat kaki yang diangkat tinggi mengenai kaki lawan sebelum lawan itu rebah.”
“Jadi, berdasarkan pandangannya ia adalah kekasaran serius. VAR kemudian menyemak rakaman bagi menentukan sama ada keputusan itu salah atau tidak dan mereka merasakan keputusan itu tidak salah kerana terdapat sentuhan yang agak tinggi pada kaki.”
Namun, Webb kemudian menjelaskan bahawa kekasaran tersebut sebenarnya tidak patut diberikan kad merah.
“Untuk sesuatu terjahan dianggap sebagai kekasaran serius, ia perlu mempunyai unsur kekasaran berlebihan atau kekuatan yang keterlaluan,” jelas Webb.
“Apa yang kita lihat di sini adalah sentuhan tinggi yang hanya meleret dan mengenai kaki dengan pantas.”
“Oleh sebab itu, hampir semua pihak dalam bola sepak bersetuju dengan kesimpulan yang kita buat sekarang—bahawa insiden ini sebenarnya tidak cukup untuk dikategorikan sebagai kekasaran serius. Ini kerana sentuhan itu hanya sekadar meleret, tidak benar-benar menekan ke dalam kaki lawan dan ia mengenai kaki sebelum turun ke bahagian bawah.”
Arsenal akhirnya memenangi perlawanan itu 1-0 menerusi jaringan lewat Riccardo Calafiori, sementara pemain Wolves, Joao Gomes turut dilayangkan kad merah pada minit ke-70.