Pemain Sayap Monaco Digantung Enam Bulan Kerana Mengasari Pengadil

Pemain sayap Monaco, Gelson Martins telah digantung selama enam bulan kerana menolak pengadil ketika pasukannya tewas 3-1 kepada Nimes dalam perlawanan di Ligue 1 bulan lepas.

Pemain antarabangsa Portugal itu berang dengan keputusan pengadil perlawanan Mikael Lesage yang menghukum rakan sepasukannya Timoue Bakayoko dengan layangan kad merah.

Bekas pemain midfield Chelsea itu dilayangkan kad merah selepas melakukan satu takle keras keatas pemain pasukan Nimes.

Martins pula dilayangkan kad merah kerana menolak pengadil ketika layangan kad merah pertama kepada Bakayoko, beliau kemudian sekali lagi menolak pengadil itu dan tolakan keduanya lebih keras dan kasar.

Keadaan menjadi panas tetapi ditenangkan oleh pemain-pemain lain. Martins tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh pengadil.

Rakan sepasukan terpaksa membawa beliau keluar meninggalkan padang agar tidak berlaku kekecohan yang lebih teruk.

Martins telah dihukum oleh persatuan bola sepak kelabnya sendiri kerana kesalahan beliau itu.

Ligue de Football Professional (LFP) turut menghukum Martins dengan hukuman penggantungan selama enam bulan atas kesalahan beliau yang dikategorikan sebagai keganasan dalam bola sepak.

Satu kenyataan telah dibuat oleh LFP dengan menyatakan:

“Dengan mengambil kira tindakan yang dilakukan pada hari kejadian, Jawatan kuasa Tatatertib, pada 6 Februari 2020, menjatuhkan hukuman penggantungan kepada pemain itu sebagai pengajaran untuknya.”

“Selepas meneliti bukti dan mendengar hujah dari semua pihak, Jawatankuasa memutuskan untuk menggantung Gelson Martins dengan penggantungan selama enam bulan.”

“Keputusan itu berkuatkuasa serta merta bermula dari 6 Februari, 2020.”

Ini bermakna Monaco, yang kini berada di tangga ketujuh dalam Liga Perancis, akan menghabiskan baki perlawanan musim ini tanpa pemain berusia 24 tahun itu.

Tetapi untuk Martins secara peribadi, hal ini mungkin akan merencatkan harapan beliau untuk beraksi di kejohanan Euro 2020 pada musim panas nanti.

Adakah tindakan yang dilakukan oleh pemain ini terlalu teruk hingga diberikan hukuman penggantungan selama enam bulan?

Namun keputusan sudah pun dibuat dan hukuman juga sudah berjalan. Semoga boleh dijadikan pengajaran kepada pemain lain agar tidak bertindak terlalu beremosi ketika berdepan situasi seperti Martins.

BACA:  Pengadil Ditumbuk dan Dirembat Kerana Menafikan Penalti