Ini Sebab Sergio Ramos Terima Dilayangkan Dua Kad Merah Dalam Aksi Menentang Real Sociedad

Sergio Ramos dilayangkan dua kad merah dalam perlawanan Sevilla menentang Real Sociedad di dalam aksi La Liga pada awal pagi tadi.

Sevilla tewas perlawanan tersebut dengan jaringan 2-1 kepada Sociedad apabila terpaksa mengakhiri perlawanan dengan sembilan pemain apabila Jesus Navas turut mendapat arahan keluar padang daripada pengadil perlawanan.

Gol sendiri Marko Dmitrovic dan Umar Sadiq terlebih dahulu memberikan pendahuluan dua gol buat Sociedad dalam perlawanan ini, sebelum Youssef En-Nesyri mengurangkan defisit jaringan selepas sejam perlawnaan berlangsung.

Sevilla bagaimanapun gagal mendapatkan gol penyamaan yang mereka cari sebelum Ramos dan Navas diarahkan keluar padang pada babak terakhir perlawanan.

Dan mungkin ramai yang kebingungan mengapakan Ramos yang telah menerima layangan kad merah, dilayangkan kad merah sekali lagi oleh pengadil dalam perlawanan ini.

Sebenarnya Ramos terlebih dahulu telah menerima layangan kad kuning pada minit ke-82 perlawanan, sebelum pemain pertahanan veteran itu menerima satu lagi kad kuning lima minit kemudian kerana kekasaran yang dilakukannya terhadap Brais Mendez.

Walaupun demikian insiden tersebut turut menerima perhatian dan semakan semula daripada VAR. Dan hasil penilaian semula pengadil, kekasaran tersebut sepatutnya terus mendapat layangan kad merah.

Disebabkan itu, pengadil perlawanan membatalkan kad kuning kedua oleh Ramos, sebelum melayangkan satu lagi kad merah kepada bekas pemain pertahanan Real Madrid itu.

Untuk rekod, layangan kad merah tersebut adalah yang ke-29 buat Ramos sepanjang karier profesionalnya sebagai pemain bola sepak, dan yang ke-21 diterimanya di pertandingan La Liga.

Berusia 37 tahun, Ramos kini adalah pemegang rekod dunia untuk jumlah layangan kad merah sebagai pemain yang masih aktif bermain, memintas jumlah kad merah yang pernah diraih Rafael Marquez (21) dan Felipe Melo (20).

Walaupun demikian, ia adalah kad merah pertamanya sejak kembali menyertai Sevilla.

BACA:  Sergio Ramos Sanggup Mati Mahu Bantu PSG 'Benam' Real Madrid