Mark Clattenburg Beri Amaran Pengadil Eropah Sertai Liga Arab Saudi Akan Dihalang Ke Piala Dunia

Bekas pengadil Premier League Mark Clattenburg tampil memberi amaran kepada pegawai perlawanan di Eropah akan dihalang ke Piala Dunia sekiranya menerima tawaran berhijrah ke Arab Saudi.

Pada jendela perpindahan musim panas lalu kelab-kelab Saudi Pro League telah melabur dengan tinggi untuk memancing ramai nama-nama besar bola sepak untuk beraksi di liga negara itu.

Antaranya adalah seperti Karim Benzema, Roberto Firmino, Riyad Mahrez, Neymar dan N’Golo Kante yang menerima bayaran tinggi untuk beraksi bersama kelab masing-msaing.

Dan terbaru The Times dalam laporannya mendedahkan Saudi Pro League turut merancang membawa masuk pengadil dari Premier League dan liga bola sepak Eropah lain dalam usaha memperkasakan pertandingan bola sepak di negara Timur Tengah itu.

Clattenburg pernah bekerja sebagai Pengarah Pengadilan di Arab Saudi dari 2017 sehingga 2018, dan kini memberi amaran kepada pengadil yang berhajat untuk berhijrah ke negara itu.

Bercakap kepada The Times, Clattenburg berkata: “Masalah saya ialah apabila melihat pengadil sepenuh masa dari Eropah pergi ke sana dan menolak peluang bertugas di pertandingan seperti Champions League, Kejohanan Euro, dan Piala Dunia, melainkan karier mereka berada di penghujung.

“Saya berfikir saya masih mampu ke Piala Dunia sebagai pengadil Eropah. Tetapi FIFA dan UEFA bertegas dalam perkara ini. Saya akan dianggap sebagai pengadil dari Arab Saudi, dan saya enggan menggantikan tempat orang lain di sana.”

Pada masa ini pengadil Premier League dilaporkan menerima bayaran antara £120,000 sehingga £300,00 setahun. Saudi Pro League dikhabarkan bersedia untuk menggandakan jumlah tersebut.

Michael Oliver yang merupakan salah seorang pengadil berprofil tinggi di Premier League sebelum ini menerima £3,000 untuk bertugas dalam satu perlawanan ketika pertemuan Al Hilal dan Al Nassr yang diwakili Cristiano Ronaldo.

BACA:  Berkilat Bilik Persalinan Ditinggalkan Pasukan Jepun