Sukan Asia: Jurulatih Korea Utara Anggap Tindakan Pemainnya Serang Pengadil Selepas Kalah Sebagai Munasabah

Ketua Jurulatih Korea Utara Sin Yong-nam mempertahankan barisan pemainnya yang bertindak menyerang pengadil selepas kekalahan 2-1 kepada Jepun di suku akhir Sukan Asia yang berlangsung di Hangzhou pada Ahad.

Kapten Korea Utara Jang Kuk-chol dan rakan sepasukan Kim Kyok-sok berkonfrontasi dengan pengadil dari Uzbekistan Rustam Lutfullin secara agresif sejurus selepas tamat perlawanan.

Konfrontasi tersebut turut melibatkan pembantu pengadil dan mengundang pasukan keselamatan untuk menenangkan keadaan.

Yong-nam turut meluru ke kawasan tengah padang ketika pertelingkahan berlaku untuk menenangkan pemain-pemainnya.

Pemain Korea Utara sebelum itu berang dengan tindakan Lutfullin memberikan sepakan penalti kepada Jepun, setelah penjaga gol Kang Juh-yok didakwa mengasari Jun Nishikawa.

Juh-yok yang tidak bersetuju dengan keputusan pengadil dilihat menggelengkan kepala sebelum bertengkar dengan pengadil.

Yuta Matsumura kemudiannya tenang menyudahkan sepakan tersebut pada minit ke-80 perlawanan untuk membenarkan Jepun mara ke pusingan seterusnya dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Pusat Sukan Xiaoshan.

“Saya akui pemain kami mungkin terlebih teruja dalam perlawanan ini tetapi inilah bola sepak,” kata Yong-nam selepas perlawanan.

“Tetapi di dalam perlawanan bola sepak konfrontasi akan berlaku… dan saya berpendapat tindakan pemain saya adalah munasabah.”

Ketua Jurlatih Jepun Go Oiwa enggan memberikan komen ketika ditanya mengenai insiden tersebut.

“Perlawanan ini berlangsung seperti yang kami telah jangkakan.

“Ada perkara turut membuatkan kami tidak gembira tetapi kami harus menerimanya,” ujar beliau ringkas.

Kotaro Uchino menjaringkan gol pertama untuk Jepun selepas bola terbias pemain pertahanan Korea Utara pada minit ke-50.

Jaringan pendahuluan Jepun kemudiannya dipadam oleh Kim Kuk-bom dengan jaringan jarak jauh.

Jepun mara ke separuh akhir Sukan Asia dan akan bertemu Hong Kong yang mengejutkan Iran 1-0.

Juara bertahan Korea Selatan turut layak ke separuh akhir selepas menewaskan China 2-0. Skuad Taeguk Warriors akan berhadapan Uzbekistan yang turut mara selepas menidakkan cabaran Arab Saudi dengan jaringan 2-1 pada hari yang sama.

BACA:  Skuad Kabaddi Malaysia Dibelasah Komando Pakistan Di Hangzhou