Real Madrid Yakin Mampu Pancing Hazard & Pogba Musim Panas Nanti

Kelab gergasi La Liga, Real Madrid dilaporkan berada dalam landasan terbaik untuk menandatangani pemain tengah Manchester United, Paul Pogba dan bintang Chelsea, Eden Hazard pada jendela perpindahan musim panas nanti.

Juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah itu dijangka akan melakukan rombakan besar-besaran bagi memperbaiki skuad sedia ada selepas melalui musim yang amat mengecewakan.

Pogba dan Hazard dijangka menjadi yang terawal menyertai revolusi baru Real Madrid musim panas nanti

Real Madrid gagal mempertahankan kejuaraan Eropah yang dimenangi mereka selama 3 musim berturut-turut dan turut gagal memberi cabaran kepada Barcelona dalam perebutan kejuaraan La Liga.

Pengurus yang bertanggungjawab membawa Real Madrid memenangi Liga Juara-Juara Eropah musim lepas, Zinedine Zidane kini kembali mengambil alih tugas menguruskan pasukan tersebut berikutan kegagalan pengganti beliau sebelum ini menjalankan tugas dengan baik.

Seperti diketahui umum, Zidane merupakan peminat utama Pogba dan melihat pemain tersebut sebagai catur utama buat Los Blancos dalam usaha mereka untuk kembali bangkit.

Hazard juga tergolong dalam kelompok pemain yang ingin dibawa Zidane ke Santiago Bernabeu dan dianggap sasaran yang lebih mudah  memandangkan kontrak Hazard yang akan tamat pada penghujung musim depan.

Zidane akan menggunakan kabel Perancis untuk memancing Pogba dari Manchester

Pogba pula menerima kritikan hebat dari segenap pihak berikutan persembahan buruk Manchester United sejak kebelakangan ini dimana mereka tewas 7 dari 9 perlawanan terdahulu. Pogba dilaporkan akan meninggalkan Old Trafford sekiranya pasukan tersebut gagal meraih slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

Namun begitu, pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer masih percaya Pogba akan terus bersama pasukan tersebut musim hadapan.

“Tahap kerjasama Pogba di atas padang semakin bertambah baik, ini menunjukkan beliau mempunyai keinginan untuk berjaya.” Ujar Solskjaer kepada Sky Sports.

“Anda tidak boleh memberi sebarang jaminan dalam bola sepak, tetapi saya rasa Pogba akan terus kekal bersama kelab ini. Saya boleh beri jaminan kepada anda semua yang beliau betul-betul ingin berjaya di Manchester United.”

“Ya, saya boleh bagi jaminan – Tetapi dalam hidup, anda tidak boleh terlalu yakin. Buat masa sekarang, Pogba akan kekal di United.”

Kenggana Hazard menurunkan tandantangan pada tawaran lanjutan kontrak menjadi punca utama mengapa beliau akan dijual

Dalam kes Hazard pula, Real Madrid dilaporkan hanya perlu menyamai harga yang ditetapkan Chelsea iaitu £100 juta bagi mendapatkan pemain antarabangsa Belgium tersebut.

Chelsea dilaporkan sudah bersedia untuk melepaskan Hazard memandangkan pemain itu tidak menunjukkan keinginan untuk menandatangani kontrak baru di Stamford Bridge.

Hazard yang kini berusia 28 tahun pernah mengeluarkan kenyataan dimana beliau berkata Real Madrid adalah kelab yang ingin diwakilinya pada masa depan, sambil menyifatkan Real Madrid sebagai kelab impiannya sejak kecil.

BACA:  Nota Menyentuh Perasaan Daripada Juan Mata Buat Luke Shaw Yang Dihentak Mourinho Tiga Tahun Lalu