Reece James Dedah Rakaman Perompak Yang Merompak Pingat Champions League Miliknya

Reece James dedah rakaman perompak yang merompak pingat Champions League dan Super Cup di kediaman beliau kemarin.

Pemain full-back Chelsea itu mengesahkan yang pingat Champions League beliau telah dirompak di kediamannya, ketika beliau sedang beraksi di Stamford Bridge.

Pemain berusia 21 tahun itu memuat naik rakaman CCTV ke laman media sosial miliknya, yang menunjukkan rakaman individu tidak bermaruah yang menceroboh masuk ke kediamannya.

Antara barang berharga yang hilang adalah pingat Champions League, pingat Super Cup dan pingat Euro 2020.

Perompak tidak bermaruah itu masuk merompak rumah Reece James, ketika bintang England itu sedang beraksi bersama skuad Chelsea bertemu Zenit St Petersburg.

Dalam usaha untuk mendapatkan semula barang berharga tersebut, Reece James telah meminta bantuan daripada pengikut di laman instagram miliknya.

Pingat tersebut jelas sangat berharga memandangkan bukan semua pemain boleh memilikinya jika tidak memenangi pertandingan-pertandingan terbesar Eropah itu.

Tidak keterlaluan juga untuk menganggap kejayaan memiliki tiga pingat terbesar benua Eropah itu pada tahun yang sama merupakan kejayaan sekali seumur hidup yang boleh dilakukan oleh seseorang pemain.

“Pada petang 14 September 2021 ketika saya sedang bermain untuk kelab saya dalam saingan Champions League, sekumpulan perompak pengecut pecah masuk rumah saya.”

Tulis Reece James.

“Mereka berjaya mengambil peti besi keselamatan yang mengandungi barangan peribadi saya masuk ke dalam kereta mereka.”

“Saya tak pernah simpan mana-mana barangan kemas di rumah saya jadi dalam peti besi itu saya simpan pingat Champions League, Super Cup dan Euro 2020.”

“Pingat itu semua saya menangi ketika mewakili Chelsea dan England. Penghormatan yang tidak boleh dirampas dari saya, tak kira sama ada saya mempunyai pingat itu atau tidak untuk buktikannya.”

“Satu lagi, saya meminta bantuan semua penyokong Chelsea dan England untuk bantu kenal pasti dan tangkap individu tak bermaruah yang tak boleh berehat dengan tenang ketika ini kerana bukti-bukti semakin banyak yang terkumpul untuk dakwa mereka.”

James tidak dinafikan antara nadi penting yang membantu Chelsea untuk menjuarai saingan Champions League musim lalu, sebelum membantu skuad The Three Lions untuk mara ke perlawanan akhir Euro 2020.

Sebulan selepas itu, James merupakan sebahagian dari skuad Chelsea yang berjaya menewaskan Villarreal dalam aksi perlawanan akhir Super Cup.

Beliau jelas sekali antara pemain terpenting dalam sistem kendalian Thomas Tuchel, dan sering diturunkan dalam kesebelasan utama skuad.

Reece James dianggap pesaing terdekat untuk bersaing dengan Trent Alexander Arnold sebagai antara pemain right-back terhebat dalam saingan Premier League.

Ketika aksi bertemu Liverpool sebelum ini, Reece James telah dilayangkan kad merah kerana menghalang percubaan gol menggunakan tangan.

Beliau bersama skuad Chelsea pada ketika ini sedang berada di landasan terbaik untuk mencabar kejuaraan liga, dengan mereka ketika ini berada di kedudukan kedua.

Manchester United, Chelsea dan Liverpool berkongsi kutipan mata dan jumlah gol yang sama untuk berada di kedudukan tiga teratas dalam saingan liga setakat ini.

Siapa yang mencuri pingat tersebut? Sekadar info, ramai penyokong Chelsea yang menuduh penyokong pasukan seteru London mereka yang mencuri pingat tersebut, kerana pasukan mereka tak mampu untuk memenanginya.

Tidak kira siapa, atau dari kalangan penyokong mana, semoga Reece James berjaya untuk dapatkan semula pingat kesayangan beliau yang disimpan dalam peti besi keselamatan tersebut.

Mungkin si perompak itu merompak peti besi kerana menyangka ada barang kemas di dalamnya tanpa beliau tahu yang sebenarnya peti tersebut hanya berisi pingat Champions League, Super Cup dan Euro 2020.

Jadi tidak mustahil untuk Reece James dapat semula semua barang berharga tersebut, apa lagi dengan bukti-bukti yang beliau ada sangat membantu pihak berkuasa untuk jalankan siasatan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Video Reece James menganjing Penyokong Villarreal Tular Di Media Sosial