Reece James Dinamakan Sebagai Kapten Baharu Chelsea

Ketua jurulatih, Mauricio Pochettino telah memilih Reece James sebagai kapten pasukan baharu Chelsea. Sepanjang perlawanan dalam siri jelajah di Amerika Syarikat, James dan Thiago Silva telah bergilir-gilir menggalas peranan itu.

Pemain berusia 23 tahun itu akan menggantikan kapten terdahulu iaitu Cesar Azpilicueta yang meninggalkan kelab dari barat London itu pada musim ini untuk menyertai Atletico Madrid.

James berkata: “Saya cukup gembira untuk memikul peranan dan tanggungjawab (ini). Saya tahu saya mempunyai kasut besar untuk diisi kerana kami mempunyai kapten hebat di sini pada masa lalu tetapi saya teruja.

“Saya telah berada di Chelsea hampir sepanjang hidup saya. Saya bermula di sini ketika saya berumur 6 tahun dan untuk muncul melalui akademi adalah sukar.”

“Tetapi untuk meneruskan dan menjadi kapten ia adalah perasaan yang hebat untuk saya dan keluarga.”

Pochettino melabelkan James sebagai pemimpin melalui teladan dan pemain itu akan menyahut cabaran memimpin pasukan Chelsea melalui pendekatan dan ideanya sendiri.

Pada awal bulan Julai Pochettino telah mengesahkan pemain antarabangsa England itu sedang bersaing untuk dinamakan sebagai kapten Chelsea yang baharu.

James telah berkembang melalui sistem akademi di Chelsea dan satu-satunya tempoh dia meninggalkan kelab itu ketika dia dipinjamkan ke Wigan Athletic pada 2018.

Bek-kanan itu telah diserapkan ke dalam pasukan utama Chelsea sepenuhnya menjelang kempen 2019-20 yang ketika itu diuruskan oleh Frank Lampard.

Dia menjaringkan gol pada penampilan sulungnya ketika menentang Grimsby Town.
Sehingga hari ini James telah membuat 147 penampilan bersama Chelsea.

Selama James bersama Chelsea dia telah menjulang trofi Liga Juara-Juara, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA dalam tempoh itu.

BACA:  Bapa Dedahkan Eden Hazard Sedang Tunggu Tawaran Real Madrid