Reunion Menentang AS Roma Buat Emosi Salah Berkecamuk

Penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah berkata emosi beliau sedikit terganggu kerana perlu berhadapan bekas pasukannya, AS Roma dalam pusingan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah malam esok.

Pemain antarabangsa Egypt itu bermain untuk Roma selama dua musim sebelum berpindah ke Liverpool musim panas lepas dalam perjanjian bernilai  £37juta.

Salah berasa berSalah kerana perlu menewaskan pasukan yang diwakilinya setahun yang lalu.

Sejak menyertai Liverpool, Salah telah berjaya mempamerkan persembahan yang cemerlang sehingga diangkat sebagai pemain terbaik tahunan PFA 2018.

Ketika bercakap kepada Skysports menjelang pertemuan penting awal pagi Rabu nanti, Salah berkata beliau masih lagi berhubung dengan beberapa bekas rakan sepasukannya di Itali dahulu dan mengakui agak ‘keberatan’ untuk berhadapan dengan pasukan yang ditinggalkannya hampir setahun yang lalu.

“Pertembungan ini hadir dengan sedikit emosi. Hampir setiap hari saya berhubung dengan bekas rakan sepasukan saya di Roma. Semalam, saya ada bercakap dengan Francesco Totti.”

“Perlawanan ini bukan mudah buat saya. Saya cintakan kelab, bandar, dan saya juga tahu mereka juga menyintai saya. Jadi untuk berhadapan dengan mereka bukan perkara yang senang. Ia akan dipenuhi dengan emosi.”

“Saya kenal pemain AS Roma bagaiman, kami bermain bersama selama dua tahun. Mereka juga tahu bagaimana saya bermain dan saya tahu bagaimana mereka bermain. Ia bukan perlawanan yang mudah sama sekali.”

“Tetapi perasaan saya ketika ini lebih kepada emosi. Dua tahun lepas, saya berjuang untuk mereka dan 8 bulan kemudian, saya perlu berhadapan dengan mereka !”

Salah peminat K-POP ?

Seperti dijangka, Salah telah diangkat oleh pemain profesional yang lain sebagai pemenang PFA Player Of The Year 2018 mengetepikan cabaran Kevin de Bruyne, Harry Kane, Leroy Sane, David Silva dan David de Gea.

Walaubagaimanapun, bekas pemain Chelsea dan Basel ini mengakui beliau lebih suka jika Liverpool memenangi Liga Juara-Juara Eropah musim ini daripada memungut anugerah peribadi.

“Saya lebih suka kami memenangi Liga Juara-Juara. Apabila anda berjaya memenangi kejohanan tersebut, ia akan disambut dengan cukup hebat oleh penduduk di bandar ini, peminat di Liverpool, dan juga penyokong kami di seluruh dunia.”

“Saya tidak boleh membandingkan Liga Juara-Juara dengan anugerah peribadi. Liga Juara-Juara jauh lebih bermakna.”

“Memenangi Liga Juara-Juara adalah perkara yang cukup besar. Ia merupakan pencapaian luar biasa. Saya yakin kami akan berjuang habis-habisan untuk merangkul trofi tersebut. Kami akan memberikan aksi lebih daripada 100%.”

Salah telah menjaringkan 41 gol dalam semua pertandingan musim ini dan 31 daripadanya dijaringkan dalam Liga Perdana Inggeris. Beliau juga telah menyamai rekod jaringan tertinggi semusim dalam sejarah Liga Perdana Inggeris yang dipegang oleh Alan Shearer, Luis Suarez dan Cristiano Ronaldo.

Dengan saingan liga masih lagi berbaki 3 perlawanan, Salah berpeluang cerah untuk meleburkan rekod tersebut sekaligus muncul pemenang kasut emas musim ini.

BACA:  Darwin Nunez Bakal Menjadi Pemain Termahal Dalam Sejarah Liverpool