Pemain pertahanan Liverpool, Andy Robertson berkata rekod tanpa kalah kebiasaannya mampu meletakkan Liverpool di tangga teratas Liga Perdana Inggeris, tetapi kecemerlangan Manchester City menghalang mereka dari berbuat demikian.
Selepas mengharungi 15 perlawanan liga, hanya dua pasukan yang masih belum tewas dalam sebarang perlawanan. Dua pasukan tersebut adalah pendahulu liga, Manchester City dan penghuni tangga ke-2, Liverpool.
Liverpool hanya dipisahkan dua mata dengan Manchester City tetapi Robertson mendakwa mereka tidak terlalu mengambil kisah mengenai prestasi anak buah Pep Guardiola dan hanya menumpukan perhatian terhadap prestasi sendiri sahaja.
Liverpool akan berkunjung ke Dean Court Stadium malam esok untuk berhadapan dengan Bournemouth dan mampu berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris selama beberapa jam sehingga tamat perlawanan City menentang Chelsea pada hari yang sama.
Robertson berkata mereka tidak hiraukan keputusan yang dicatatkan Manchester City dan hanya fokus pada prestasi mereka sendiri.
“Apabila anda melihat pada carta liga dan berkata, ‘jika anda masih belum tewas masuk bulan Disember, anda akan berada di tangga teratas dalam Liga Perdana Inggeris’. Tetapi ia tidak berlaku. Kami masih mengejar Manchester City.”
“Kami berjaya mengharungi permulaan musim yang bagus dan kami perlu meneruskan prestasi ini dan kekal fokus terhadap perkara yang kami lakukan. Kami tidak boleh beri perhatian pada keputusan pasukan lain.”
“Kami hanya boleh kawal perkara yang kami lakukan. Jika kami terus mengekalkan tekanan terhadap Manchester City, saya percaya saingan liga musim ini akan pergi sehingga ke penghujung musim.”
Liverpool akan mengharungi musim Krismas yang penuh mencabar dimana mereka bakal bertemu Napoli di tempat sendiri sebelum menerima kunjungan musuh tradisi, Manchester United. Selepas itu, perlawanan menentang Wolves di gelanggang lawan bakal menyusul dan kemudian, mereka akan menanti kunjungan Newcastle dan Arsenal di tempat sendiri.
Perlawanan yang ditunggu-tunggu seluruh peminat Liverpool akan berlangsung pada 3 Januari apabila mereka membuat kunjungan ke Etihad Stadium untuk bertemu Manchester City. Robertson sedar satu-satunya perlawanan yang mereka mampu kawal dan ubah adalah ketika mereka berdepan dengan City.
“Satu-satunya perlawanan Manchester City yang kami boleh kawal adalah ketika mereka menentang Liverpool. Selain daripada itu, kami tidak mampu berbuat apa-apa.”
“Kami perlu fokus pada keputusan kami sendiri sahaja. Kami perlu terus-menerus kutip 3 mata dari setiap perlawanan.”