Gary Neville Letakkan Liverpool Sebagai Pencabar Utama Manchester City

Bekas pemain England dan Manchester United, Gary Neville percaya Liverpool merupakan pencabar utama Manchester City dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini, dan mengakui Liverpool mempunyai kedalaman skuad yang baik untuk mencapai sasaran tersebut.

Liverpool memulakan kempen liga musim ini dengan langkah kanan apabila tenang membelasah West Ham 4-0 di hadapan peminat sendiri. Gol dari Mohamed Salah, Sadio Mane (2) dan Daniel Sturridge sudah cukup untuk membuatkan peminat Liverpool kembali melaungkan kata-kata keramat mereka iaitu ‘This Year Is Our Year’.

Calon juara Liga Perdana Inggeris 2018/2019 ?

Pencabar liga lain seperti Manchester City, Manchester United, Chelsea, dan Tottenham Hotspurs turut memulakan kempen musim ini dengan kemenangan bagi memberi tekanan kepada Liverpool yang kini gah berada di persada liga melalui kelebihan gol.

Liverpool berjaya menewaskan Manchester City sebanyak 3 kali musim lepas tetapi masih lagi mengakhiri musim lepas di kedudukan ke-4 dalam liga. Pelik bukan.

Walau bagaimanapun, pundit bola sepak tersohor Inggeris Gary Neville percaya Liverpool bakal memberi ancaman utama kepada anak buah Pep Guardiola dalam misi untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka musim lepas.

“Saya percaya Liverpool merupakan pasukan yang memberi ancaman kepada Manchester City. Sudah tentu melalui corak permainan mereka, Liverpool berada pada tahap yang sama dengan Manchester City. Anda boleh lihat sendiri bagaimana mereka beraksi.”

Mane tenang menjaringkan dua gol

“City suka naik ke atas dan pemain pertahanan tengah mereka juga akan berada lebih ke hadapan ketika melakukan serangan. Tetapi bagi pemain seperti Salah, Mane dan Firmino, jika anda memberikan ruang di belakang seperti itu, mereka mampu menghukum anda.”

“Peminat tidak menganggap Manchester United atau Tottenham atau Chelsea sebagai pencabar utama buat masa sekarang disebabkan perkara yang berlaku ketika pra-musim. Jadi pasukan-pasukan ini perlu berusaha lebih keras untuk menjadi pencabar kepada Manchester City.”

“Tetapi buat masa sekarang, ancaman paling nyata datangnya daripada Liverpool. Akan tetapi, Liverpool perlu membuktikan yang mereka mampu berbuat demikian.”

Banyak pihak bercakap mengenai jentera serangan Liverpool tetapi Neville paling tertarik dengan pengaruh yang dibawa Virgil van Dijk dalam skuad Liverpool sejak ketibaan beliau dari Southampton awal tahun ini. Neville membandingkan pemain tersebut dengan bekas rakan sepasukannya suatu ketika dahulu, Jaap Stam.

Betul ke Gary Neville ada berlakon Prison Break dulu ?

“Saya percaya Van Dijk merupakan pemain yang bagus di Southampton tetapi saya tidak rasa beliau bernilai £75 juta. Pada mulanya, saya tidak rasa beliau akan memberikan impak di Liverpool seperti yang kita lihat berlaku sekarang.”

“Beliau merupakan ‘monster’ dan kelihatan seperti Jaap Stam. Beliau menolak pemain lawan yang berada dalam laluannya dengan mudah.”

BACA:  Gary Neville Mahu England Rehatkan Beberapa Pemain Utama Bagi Pertemuan Belgium