Gary Neville Mahu England Rehatkan Beberapa Pemain Utama Bagi Pertemuan Belgium

Bekas pemain England dan Manchester United, Gary Neville percaya Gareth Southgate harus menukar ‘4 atau 5 orang pemain’ dalam kesebelasan utama England bagi pertemuan menentang Belgium Jumaat ini.

Belgium dan England akan bertembung sesama sendiri dalam aksi terakhir kumpulan G bagi menentukan pasukan mana yang lebih layak menghuni tangga teratas kumpulan.

Kedua-dua pasukan mengumpul 6 mata selepas dua perlawanan dan sudah mengesahkan tempat mereka ke peringkat kalah mati.

Gary Neville menggesa Southgate rehatkan beberapa pemain utama untuk pertemuan Belgium bagi memastikan mereka cergas untuk peringkat kalah mati

Dengan tempat ke pusingan seterusnya sudah terjamin, terdapat desakan daripada beberapa pihak yang mahu melihat Southgate merehatkan beberapa pemain utama bagi memastikan mereka cergas untuk menghadapi peringkat kalah mati.

Ada juga yang mahu Southgate mengekalkan kesebelasan utama yang sama dan mengekalkan momentum yang telah dibina selepas mencatatkan kemenangan ke atas Tunisia dan Panama.

Tetapi Gary Neville percaya keputusan terbaik yang perlu diambil Southgate adalah merehatkan pemain utama England bagi memastikan mereka tidak mengutip sebarang kecederaan dalam perlawanan yang tidak membawa makna yang terlalu penting.

“Saya menerima kedua-dua hujah tersebut. Tumpukan perhatian terhadap satu perlawanan pada satu masa dan lakukan kerja anda. Tetapi kita juga harus lihat pada pasukan Perancis ketika mereka muncul juara pada Piala Dunia 1998.” Ujar Neville kepada Sky Sports.

Eric Dier antara pemain yang akan dibawa masuk ke dalam kesebelasan utama bagi perlawanan Belgium

“Mereka melakukan 9 pertukaran pada perlawanan terakhir kumpulan dalam usaha mereka untuk memenangi Piala Dunia. Perancis berpendapat memberikan rehat kepada kesebelasan utama  merupakan perkara yang harus dilakukan.”

“Saya pernah melihat skuad England ‘meletup’ pada peringkat suku akhir kerana seluruh pasukan keletihan dan gagal ke peringkat seterusnya. Saya sangat setuju jika kita mampu menggunakan keseluruhan skuad, ia akan memberi kesan positif kepada England selepas ini.”

“Di Euro 2016, kita membuat 5 atau 6 pertukaran bagi perlawanan ketiga kumpulan dengan harapan kesebelasan utama akan berasa lebih cergas apabila berhadapan dengan Iceland tetapi ia tidak berhasil. Akan ada orang akan melihat keputusan tersebut sebagai tindakan yang kurang tepat dan tidak patut dilakukan.”

Gary Neville merupakan sebahagian dari barisan kejurulatihan England yang dimalukan Iceland dua tahun lepas.

“Roberto Martinez merancang untuk melakukan beberapa perubahan kerana beliau merancang untuk memenangi kejohanan ini. Dari sudut pasukan England pula, adalah penting untuk memberi kepercayaan kepada anggota skuad England yang lain.”

“Kita harus menukar 3 atau 4 orang pemain sekarang kerana selepas ini anda tidak akan mempunyai peluang untuk melakukan perkara tersebut lagi. Sekarang adalah waktu yang paling sesuai untuk rehatkan beberapa pemain utama.”

BACA:  Liku-Liku Perjalanan England ke Final EURO 2020