Rodrygo: Pemain Berbakat yang Sering Dipandang Remeh di Real Madrid
Santiago Bernabéu sunyi selepas Real Madrid menewaskan Manchester City dalam perlawanan play-off Liga Juara-Juara. Dalam suasana itu, Jude Bellingham mengambil kesempatan untuk memberi penghormatan kepada seorang rakan sepasukan yang jarang mendapat pujian yang sewajarnya.
Dalam pasukan penuh bintang seperti Kylian Mbappé, Vinícius Júnior dan Bellingham sendiri, nama Rodrygo sering diketepikan. Namun, ketika Thierry Henry bertanya kepada Bellingham mengenai kepentingan Rodrygo dalam pasukan, jawapannya sangat jelas.
“Rodrygo sangat kurang dihargai,” kata Bellingham.
“Bagi saya, dia mungkin pemain paling berbakat dalam skuad ini. Kemampuannya dengan bola luar biasa. Kadang-kadang, dalam sesi latihan, dia melakukan helah yang membuatkan kami tertanya-tanya bagaimana dia melakukannya. Saya cuba meniru, tetapi akhirnya hanya memulas pergelangan kaki sendiri!”
Bagi seorang pemain seperti Bellingham yang beraksi bersama bintang-bintang besar, kenyataannya mengenai Rodrygo adalah satu pujian yang tinggi. Namun, prestasi dan statistik pemain Brazil berusia 24 tahun itu di pusat latihan Valdebebas membuktikan kenyataan tersebut.
Menjadi Pemain Penting di Bawah Ancelotti
Sebelum musim bermula, ramai yang meramalkan Rodrygo akan lebih banyak memanaskan bangku simpanan dan mungkin akan meninggalkan Madrid. Namun, ramalan itu meleset. Sebaliknya, dia menjadi pemain utama dalam pasukan Ancelotti dan sukar dibayangkan berada di kelab lain.
“Ini adalah musim terbaiknya dengan tahap konsistensi tertinggi sepanjang 6 tahun bersama Madrid,” kata seorang individu rapat dengan Rodrygo
Salah satu bukti utama kepentingan Rodrygo dalam pasukan ialah kepercayaan Carlo Ancelotti terhadapnya. Ketika di bawah kendalian Zinedine Zidane, Rodrygo hanya bermain dalam 19 dan 22 perlawanan liga untuk musim 2019-20 dan 2020-21. Namun, sejak kepulangan mengejut Ancelotti dari Everton pada tahun 2021, Rodrygo mula menjadi tonggak utama.
Dalam musim pertama Ancelotti, Rodrygo bermain 33 perlawanan La Liga dengan 17 daripadanya sebagai kesebelasan utama. Jumlah minit permainannya ketika itu sekitar 44.5% daripada keseluruhan masa permainan. Namun, angka tersebut meningkat hampir 70% dalam 2 musim berikutnya. Musim ini, dia berada di landasan terbaik untuk mencatatkan rekod permainan tertingginya.
Keupayaan Rodrygo dalam Pelbagai Posisi
Salah satu sebab utama Rodrygo menjadi pemain penting dalam sistem Ancelotti ialah fleksibilitinya untuk beraksi dalam pelbagai posisi. Dia boleh bermain sebagai pemain sayap kiri dan kanan, perancang serangan, penyerang kedua serta sebagai penyerang nombor 9.
Sehingga kini, Rodrygo telah beraksi dalam 5 posisi berbeza di La Liga musim ini. Namun, jumlah minit permainannya sebagai pemain sayap kiri adalah yang paling sedikit, walaupun itu adalah posisi kegemarannya. Ia kerana posisi tersebut juga menjadi tempat kegemaran 2 pemain terbaik dunia, Vinícius Júnior dan Kylian Mbappé.
Statistik menunjukkan bahawa sejak tahun 2019, Rodrygo mencatat purata 0.39 gol setiap 90 minit apabila bermain di posisi sayap kiri, berbanding 0.35 apabila bermain di tengah dan 0.19 di sayap kanan—posisi di mana dia lebih kerap diturunkan musim ini.
Namun, Rodrygo bukan sekadar pemain menyerang. Bellingham turut menekankan pengorbanan Rodrygo untuk pasukan dalam wawancara bersama CBS.
“Dialah yang paling banyak berkorban untuk pasukan,” kata Bellingham.
“Dia banyak membantu di bahagian pertahanan walaupun bermain di posisi yang bukan pilihannya. Tetapi dia tidak pernah merungut sebaliknya dia hanya terus bekerja keras.”
Statistik membuktikan kenyataan ini. Dalam La Liga musim ini, Rodrygo telah melakukan 47 ball recovery, lebih banyak daripada Vinícius Júnior (43) dan Mbappé (25) tetapi masih di belakang Bellingham (62). Dari segi jumlah interception, dia telah melakukan 7 intercept, manakala Bellingham mencatatkan 17, Vinícius Júnior hanya 2, dan Mbappé langsung tiada. Lebih mengagumkan, Rodrygo telah memenangi 54% daripada duel yang dimenanginya, lebih tinggi daripada Vinícius Júnior (47.9%) dan Mbappé (44.5%).
Rodrygo dalam Perancangan Taktikal Madrid
Ancelotti tidak pernah menyembunyikan kekagumannya terhadap Rodrygo. Dalam sidang media selepas kemenangan 2-0 Madrid ke atas Girona, jurulatih Itali itu berkata,
“Rodrygo lebih baik di sayap kiri, tetapi dia mampu memberikan ancaman yang sama di sebelah kanan.”
Ancelotti bukan sahaja mempertahankan Rodrygo di hadapan media tetapi juga sentiasa membantunya untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai posisi dan meningkatkan sumbangan pertahanan. Walaupun mengalami tempoh sukar pada awal musim dengan hanya menjaringkan 3 gol dan 2 bantuan gol dalam 18 perlawanan pertama, dia bangkit dalam 18 perlawanan berikutnya dengan 10 gol dan 6 bantuan gol.
Cabaran terbesar buat Rodrygo datang pada bulan Januari ketika Madrid tewas teruk 5-2 kepada Barcelona dalam perlawanan akhir Supercopa de España. Kekalahan itu menyebabkan Ancelotti dan staf kejurulatihan mempertimbangkan untuk menggugurkan salah seorang daripada ‘Fantastic Four’ dalam kesebelasan utama dalam perlawanan besar.
Ramai menjangka Rodrygo menjadi calon utama untuk diketepikan memandangkan status 3 lagi pemain (Mbappé, Vinícius Júnior dan Bellingham) yang jauh lebih besar dalam kelab. Mbappé dianggap pemain terbaik dunia, Vinícius Júnior naib juara Ballon d’Or manakala Bellingham adalah pemain termahal dalam sejarah Real Madrid.
Namun, Rodrygo membuktikan dirinya tidak boleh diketepikan. Gol-gol pentingnya memastikan dia kekal dalam kesebelasan utama ketika bertemu Manchester City dan Atletico Madrid pada Februari.
Kesetiaan Rodrygo kepada Real Madrid
Bellingham bukan kali pertama mempertahankan Rodrygo. Sebelum ini, dalam satu hantaran Instagram, Bellingham menulis: “Hanya orang bodoh yang melupakan R”, merujuk kepada nama trio serangan Madrid yang sering disebut sebagai ‘BMV’ (Bellingham, Mbappé, Vinícius) tanpa memasukkan nama Rodrygo.
Rodrygo sendiri pernah memuat naik hantaran di WhatsApp yang berbunyi,
“Mereka bercakap tentang trio Bellingham, Mbappé dan Vini (B-M-V) tetapi mereka perlu menambah huruf ‘R’ saya dalam akronim itu.”
Walaupun banyak spekulasi mengatakan dia akan menjadi pemain yang paling terkesan dengan kehadiran Mbappé, Rodrygo membuktikan sebaliknya. Orang dalam kelab menyatakan bahawa dia mahu bertahan sekurang-kurangnya untuk satu musim lagi di kelab impiannya, di mana dia telah memenangi 2 trofi Liga Juara-Juara dan pelbagai kejuaraan lain.
Beberapa kelab Liga Perdana Inggeris dan wakil kelab dari Arab Saudi pernah menghubunginya pada bulan Januari tetapi baik Rodrygo mahupun Real Madrid tidak pernah mempertimbangkan untuk berpisah.
Buat masa ini, tumpuan Rodrygo hanyalah untuk terus cemerlang di Madrid. Dia menikmati musim terbaiknya setakat ini, membuktikan bahawa dia bukan sekadar pemain pelengkap, tetapi aset penting dalam pasukan bintang Real Madrid.