Romelu Lukaku Hanya Mampu Sentuh Bola Dua Kali Sahaja Sepanjang 45 Minit Pertama Bertemu Palace

Romelu Lukaku teruk dihentam oleh para penyokong Chelsea selepas mempamerkan aksi persembahan yang sangat mendukacitakan bertemu Crystal Palace.

Lukaku hanya mampu melakukan dua sentuhan sahaja pada aksi babak pertama dalam perlawanan yang dilangsungkan di Selhurst Park itu.

Untuk menunjukkan betapa teruknya pemain kebangsaan Belgium itu, salah satu dari dua sentuhan yang berjaya beliau lakukan itu merupakan sentuhan ketika sepak mula permainan.

Lukaku terus bergelut untuk mencari gol dalam perlawanan ini, hinggalah Hakim Ziyech yang terlebih dahulu membuka tirai jaringan Chelsea di hujung-hujung minit permainan.

Gol pertama jaringan Hakim Ziyech telah dibatalkan oleh pengadil perlawanan, kerana beliau berada di kedudukan offside.

Ziyech walau bagaimanapun berjaya menjaringkan gol kemenangan untuk Chelsea pada minit ke-89, seterusnya mengesahkan kemenangan 1-0 berpihak kepada Chelsea.

Walau Chelsea berjaya mencatat kemenangan dalam perlawanan ini, namun para peminat tetap meluahkan rasa tak puas hati mereka terhadap Lukaku.

“Apa gunanya kita mainkan Lukaku setiap perlawanan kalau bukti nyata kita boleh lihat yang dia adalah masalah utama kita, kita sebenarnya memang tak perlukan dia.”

“Kenapa kita masih mainkan Lukaku jika dia sendiri tak boleh bermain dengan pemain lain? Saya rasa dia memang tak berminat nak bermain.”

“Dua sentuhan? Adakah dia bergurau? Dia main bertemu Crystal Palace bukan pasukan besar lain, kalau ini saja yang dia mampu pamerkan saya rasa kita benar-benar salah kerana percaya dia mahu bantu kita.”

“Ada dia ke tak ada dia ke, saya tak rasa ada perbezaan, dia nampak macam tak ada hati untuk bermain.”

Lukaku tidak dinafikan sedang melalui musim yang mendukacitakan bersama Chelsea pada ketika ini, sejak dari awal beliau ditandatangani semula dengan yuran perpindahan memecah rekod bernilai £97.5 juta.

Pemain kebangsaan Belgium itu hanya mampu menjaringkan 10 gol sahaja dari 27 perlawanan untuk The Blues, namun aksi dan persembahan beliau dalam saingan Premier League sering membangkitkan kemarahan para penyokong.

Ketua jurulatih Chelsea, Thomas Tuchel baru-baru ini mengakui yang beliau menjangkakan lebih banyak gol yang sepatutnya mampu dijaringkan oleh bekas bintang Inter Milan itu.

“Saya masih percaya yang dia boleh jaringkan lebih banyak gol. Kita perlu sedikit bersabar untuk menanti itu.”

“Kita berharap lebih dari pemain penyerang kita terutama dari segi intensiti, jadi ada beberapa sebab mengapa hal seperti ini berlaku, dan kami sudah bersedia dengannya.”

“Kami mahu bawa Romelu ke tahap yang lebih baik, kami mahu lebih memahami dia, ia merupakan proses yang sedang berjalan, tapi kita masih percayakan dia kerana dia sudah buktikan yang dia mampu jaringankan banyak gol.”

“Mengecewakan bukanlah kata yang sesuai untuk digunakan, tapi sudah tentu kami berharap yang terbaik dari dia, dia mahu berikan sesuatu sejak dari awal tapi kita semua manusia dan kita juga terlalu banyak berharap pada dia.”

Kemenangan ini berjaya membantu Chelsea untuk menjarakkan diri dari Manchester United yang sedang berada di kedudukan keempat dan turut merapatkan jurang mata antara mereka dengan Liverpool yang sedang berada di kedudukan kedua.

Walau ia dianggap kemenangan yang buruk, namun kemenangan tetap kemenangan dengan Chelsea berjaya mengutip tiga mata penuh dari Selhurst Park malam semalam.

Untuk mencabar gelaran liga sepertinya terlalu sukar untuk dicapai oleh Chelsea, namun setidak-tidaknya mereka perlu mengutip sebanyak mata yang mereka mampu, untuk memastikan mereka kekal di kedudukan ketiga.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Chelsea Berdepan Kemungkinan Bankrap dan Dilelong Gara-Gara Abramovich Terlalu Memilih Pembeli