Rooney: Skuad Guardiola Bukan Pasukan Terbaik Dalam Sejarah Liga Perdana Inggeris

Bekas penyerang Manchester United, Wayne Rooney berpendapat pasukan Manchester City musim ini bukanlah pasukan yang terbaik pernah dilihat sepanjang penganjuran Liga Perdana Inggeris.

Rooney juga berasa skuad Pep Guardiola tidak akan mengharungi musim ini tanpa mengalami sebarang kekalahan kerana kualiti pasukan dalam liga dan jadual yang padat sepanjang perayaan Krismas.

Dalam perlawanan terakhir City, mereka mudah membenam cabaran Tottenham Hotspurs di Stadium Etihad dengan jaringan akhir 4-1. Keputusan tersebut menjarakkan lagi jurang mata di antara City dan United yang menghuni tangga kedua menjadi 14 mata, tetapi United masih lagi mempunyai kelebihan 1 perlawanan.

Everton satu-satunya pasukan yang berjaya mencuri mata dari City setakat musim ini

Rooney yang kini bermain bersama kelab lamanya, Everton turut mengakui City mempunyai ramai pemain yang berbakat besar dan moral pasukan kini berada pada tahap tertinggi. Walaupun demikian, Rooney fikir City mestilah terlebih dahulu mengekalkan prestasi cemerlang mereka lebih lama jika mahu diangkat sebagai salah satu pasukan terbaik sepanjang zaman.

“Saya tidak pasti sama ada Manchester City sudah boleh dianggap sebagai antara pasukan terbaik. Mereka harus mengekalkan prestasi ini lebih lama dan memenangi lebih banyak piala.”

“Terdapat begitu banyak pasukan hebat sepanjang penganjuran Liga Perdana Inggeris. Pasukan City ini harus memenangi lebih banyak piala terlebih dahulu dan melakukannya dalam jangka masa yang lama sebelum boleh diangkat menjadi yang terbaik.”

Äpabila ditanya pasukan manakah yang terbaik pada pendapat beliau, jawapan yang diberikan penyerang Everton ini sudah boleh dijangka dan tidak mengejutkan.

“Pasukan terbaik sepanjang zaman ? Saya pilih pasukan Manchester United pada tahun 2008! ”

Sepakan gunting maut yang kekal menjadi memori hitam peminat City

Rooney turut berkata pasukan Manchester City ini tidak akan mampu mengulangi pencapaian menakjubkan skuad Arsenal 2003/04 yang tidak mengalami sebarang kekalahan sepanjang musim tersebut.

“Saya tidak rasa mereka mampu mengharungi musim ini tanpa sebarang kekalahan. Mereka telah menunjukkan prestasi yang sangat cemerlang setakat ini tetapi Liga Perdana Inggeris adalah sangat sukar terutamanya dengan jadual perlawanan sepanjang Krismas yang agak padat.”

“Saya tahu mereka mempunyai skuad yang agak besar dan ramai pemain yang bagus. Tetapi liga ini mempunyai banyak pasukan ternama. Mungkin tahun-tahun sebelum ini hanya ada dua pasukan yang bersaing merebut gelaran juara dan pemain kelab ini tahu mereka boleh memenangi kebanyakan perlawanan yang ada.”

“Akan tetapi, hari ini terdapat 5 hingga 6 kelab besar yang berupaya menewaskan lawan masing-masing dan saya berpendapat City akan mengalami kekalahan dalam perlawanan sebegini.”

Untuk rekod, skuad Everton yang dianggotai Rooney musim ini adalah satu-satunya pasukan yang berjaya menidakkan 3 mata kepada Manchester City sekitar Ogos lalu, selepas mengikat anak buah Guardiola di Etihad Stadium dengan jaringan 1-1. Everton nyaris menang perlawanan tersebut jika tidak kerana jaringan Raheem Sterling pada lewat perlawanan.

BACA:  Theo Walcott Lulus Pemeriksaan Kesihatan, Bakal Sertai Everton