Salah Gondol Anugerah Pemain Terbaik Tahunan FWA, Ketepikan Cabaran De Bruyne

Pemain Liverpool, Mohamed Salah menambah koleksi anugerah peribadi beliau musim ini selepas dinamakan sebagai pemenang ‘FWA Footballer of the Year’ berdasarkan prestasi cemerlang beliau musim ini bersama Liverpool.

Pemain antarabangsa Egypt tersebut mengenepikan cabaran pemain tengah Manchester City, Kevin De Bruyne dengan undi yang sangat tipis iaitu kurang daripada 20 undi.

Satu lagi anugerah untuk King Salah musim ini !

FWA atau nama penuhnya ‘Football Writer’s Association’ merupakan badan yang dianggotai hampir 400 wartawan seluruh England. Wartawan-wartawan ini bertanggungjawab mengundi pemain terbaik Liga Perdana Inggeris setiap musim.

Daripada keseluruhan jumlah undian, hampir 90% undian telah memilih sama ada Salah atau De Bruyne, dengan Salah memiliki kelebihan 20 undi untuk dinobatkan sebagai pemenang anugerah tersebut.

Pemain yang bersaing hebat dengan Salah untuk merebut Kasut Emas Liga Perdana Inggeris musim ini, Harry Kane berad di tangga ke-3.

Dengan kemenangan ini, Salah menjadi pemain ke-2 dari benua bukan Eropah untuk menggondol anugerah terbabit selepas pemain Barcelona, Luis Suarez memenanginya bersama Liverpool pada musim 2013/2014.

Sayang seribu kali sayang De Bruyne terpaksa berpuas hati di tangga ke-2.

Dengan musim menghampiri penghujungnya, Salah telah berjaya menjaringkan 43 gol dalam 48 perlawanan dan membantu Liverpool mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah  disamping menduduki tangga ke-3 Liga Perdana Inggeris ketika ini.

The Reds berada dalam landasan terbaik untuk mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara selepas mencatatkan kemenangan selesa 5-2 ke atas AS Roma di tempat sendiri minggu lalu. Perlawanan timbal balik di Rome, Itali bakal berlangsung pagi Khamis nanti.

Sebelum ini, bekas pemain AS Roma dan Chelsea ini telah dinamakan sebagai Pemain Terbaik Tahunan PFA, mengenepikan cabaran pemain yang sama iaitu De Bruyne dan juga David De Gea.

Salah menyertai segelintir pemain yang berjaya meraih anugerah pemain terbaik tahunana PFA dan FWA dalam satu musim seperti N’Golo Kante yang melakukannya pada musim lepas bersama Chelsea.

Selain itu, pemain yang pernah membolot dua anugerah ini dalam satu musim termasuklah Eden Hazard, uarez, Gareth Bale, Robin van Persie, Wayne Rooney, Cristiano Ronaldo, Thierry Henry, Teddy Sheringham, Roy Keane, David Ginola dan Dennis Bergkamp.

Pengerusi FWA, Patrick Barclay dipetik berkata beliau sudah menjangka persaingan sengit di antara Salah dan De Bruyne untuk merebut anugerah tersebut.

Kane hanya di tangga ke-3. Mohon jangan claim

“Ini adalah keputusan paling sengit sejak musim 1968/69, dimana pada ketika itu pemain Manchester City, Tony Book dan pemain Derby, Dave Mackay menerima jumlah undian yang sama.”

“Sehingga hujung minggu lalu, kami meramalkan perkara ini akan berulang sekali lagi dengan De Bruyne menerima sokongan yang padu. Tetapi persembahan memukau Mo Salah ditambah dengan dua jaringan beliau ketika menentang AS Roma minggu lalu telah mengubah keputusan undian untuk berpihak kepadanya.”

“Ia merupakan persaingan yang sangat hebat di antara dua pemain yang berjaya mencapai tahap ‘world-class’ dalam tempoh masa yang singkat. Dan Mo Salah berhak memenangi anugerah ini. Beliau juga adalah pemain Afrika pertama memenangi anugerah ini dan kami mahu mengucapkan tahniah kepada beliau atas musim yang menakjubkan.”

BACA:  Son Dedah Situasi Berkait Perpindahan Harry Kane