Pemain sensasi Egypt, Mohamed Salah mendedahkan beliau sudah lama merancang untuk menyertai Liverpool, iaitu ketika beliau meninggalkan negaranya untuk bermain di Eropah 6 tahun yang lalu.
Setiap kejayaan memerlukan pengorbanan dari segi masa, tenaga serta kehidupan diadun pula dengan kerja keras tanpa mengenal erti putus asa. Inilah yang dilakukan oleh Mohamed Salah pada musim lalu dan menjadi fenomena di Premier League.
Mohamed Salah dilahirkan di Basyoun pada 15 Jun 1992. Selepas 17 tahun lahir ke dunia yang fana yang penuh dengan pancaroba ini, Salah telah melakukan debut sebagai kesebelasan utama untuk pasukan Arab Contractors.
Pemain berusia 26 tahun itu memulakan kariernya di Eropah dengan menyertai kelab Switzerland, Basel pada tahun 2012. Tidak lama kemudian, prestasi cemerlang beliau dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah telah menarik perhatian Chelsea yang membelinya pada tahun 2014.
Walau bagaimanapun, langit tidak selalunya cerah buat Salah. Beliau bergelut untuk mempamerkan prestasi terbaiknya di Stamford Bridge dan gagal untuk menembusi kesebelasan utama Chelsea.
Pengurus Chelsea ketika itu, Jose Mourinho menghantar Salah ke Itali untuk menimba pengalaman bersama Fiorentina dan AS Roma. Pada Ogos 2016, Roma mengambil keputusan untuk mendapatkan Salah secara tetap dan beliau membalas kepercayaan Roma dengan membantu kelab tersebut menduduki tangga ke-2 Serie A pada musim tersebut.
Akhirnya, impian Salah untuk menyarung jersi The Reds tercapai selepas Liverpool membayar €42 juta kepada Roma untuk mendapatkan khidmat pemain itu awal musim lalu. Sejak menyertai Liverpool, Salah menunjukkan potensi sebenarnya sehingga diangkat menjadi antara pemain terbaik dunia ketika ini disamping memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA musim lalu.
Dalam satu temu ramah bersama laman web rasmi Liverpool, Salah telah diminta untuk mengulas mengenai perpindahan impiannya ke Liverpool.
“Liverpool merupakan kelab yang popular di seluruh dunia. Mereka mempunyai ramai peminat di Timur Tengah. Saya rasa kali pertama saya mendengar Liverpool adalah ketika berusia 10 atau 11 tahun.”
“Cerita mengenai saya menggunakan Liverpool ketika bermain PlayStation adalah benar. Kadang-kadang saya akan gunakan pasukan lain juga, tetapi kebiasaannya saya akan gunakan Liverpool.”
“Pada masa itu, tidak pernah terlintas dalam fikiran yang saya akan bermain untuk Liverpool. Liverpool merupakan impian saya sejak dulu lagi dan anda perlu berusaha untuk mencapainya.”
“Ketika saya menyertai Basel dari Egypt, saya sudah mempunyai perancangan dalam kepala saya. Saya berharap suatu hari nanti saya akan menyertai Liverpool. Ketika bermain untuk Basel, saya mempunyai peluang untuk menyertai Liverpool tetapi kedua-dua belah pihak gagal mecari persetujuan.”
“Apabila Liverpool sekali lagi menunjukkan minat tahun lepas, saya sangat berminat untuk menyertai Liverpool. Tetapi anda juga perlu melihat apa rancangan kelab untuk anda dan sesuaikah anda dalam rancangan tersebut.”
Dalam perkembangan lain, Jordan Henderson dan Naby Keita telah menyertai sesi latihan individu pada hari Khamis menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris menentang Arsenal hujung minggu ini.
Henderson terlepas dua perlawanan terkahir Liverpool akibat kecederaan manakala Keita sudah hampir sebulan tidak bermain kerana masalah muscle.