Sanchez Semakin Hampir Sertai United, Gaji Lebih Tinggi Dorongan Utama Tolak City

Manchester United sanggup membayar gaji berjumlah lebih £350,000 seminggu kepada Alexis Sanchez jika beliau memilih untuk menyertai United dan menolak tawaran City.

Beberapa sumber melaporkan Manchester United berada dalam kedudukan terbaik untuk mendapatkan khidmat Alexis Sanchez dengan yuran perpindahan bernilai £35 juta.

Jaga diri elok-elok lepas ni

Jumlah yang ditawarkan United tersebut adalah jauh lebih tinggi dari nilai yang sanggup dibayar Manchester City, iaitu hanya sekitar £20 juta. City hampir pasti melupakan hasrat mereka untuk mendapatkan pemain yang dikejar Pep Guardiola sejak musim panas lalu.

United pula sangat yakin mereka mempunyai pakej yang lumayan untuk ditawarkan pada Sanchez dan Arsenal. Pengurus Arsenal, Arsene Wenger turut mengesahkan Sanchez akan berpindah keluar 48 jam dari sekarang ketika ditemuramah selepas pasukannya tewas kepada Bournemouth semalam.

Punca utama City tidak menyaingi harga yang ditawarkan United adalah mereka tidak mahu berbelanja lebih terhadap pemain berusia 29 tahun yang bakal tamat kontraknya 6 bulan sahaja lagi. Selain itu, City juga tidak mahu menawarkan gaji lebih tinggi kepada Sanchez dari apa yang dibayar mereka terhadap Kevin De Bruyne.

United pula gembira untuk membayar £35 juta kepada Arsenal, disamping bayaran £5 juta terhadap ejen pemain tersebut. Sanchez bakal menerima gaji tahunan berjumlah £18 juta setahun, menjadikan beliau pemain yang menerima gaji tertinggi di Old Trafford, dihadapan Paul Pogba dan Zlatan Ibrahimovic.

City enggan bayar yuran perpindahan yang tinggi untuk pemain yang bakal tamat kontrak 6 bulan sahaja lagi

Arsenal pula lebih berminat melepaskan Sanchez kepada United kerana Jose Mourinho sanggup menyertakan sekali bekas pemain Dortmund, Henrikh Mkhirtaryan dalam perjanjian perpindahan Sanchez.

Mkhirtaryan adalah pemain yang sangat diminati Wenger pada masa lepas dan pernah cuba memancing pemain antarabangsa Armenia ini untuk menyertai Arsenal sebelum Mkhirtaryan memilih menyertai United pada tahun 2016 dalam perjanjian bernilai £30 juta.

Selepas memilih untuk meninggalkan Sanchez dari kesebelasan utama Arsenal bagi perlawanan menentang Bournemouth semalam, Wenger memberitahu pemain yang dibawa masuk beliau dari Barcelona 4 tahun lepas itu mungkin berpindah tidak lama lagi.

Free gift dari Mourinho buat Wenger

“Sebab itulah saya tidak membawa Sanchez sekali dalam pasukan kerana beliau mungkin berpindah selepas ini. Alexis boleh bermain tetapi sekarang adalah waktu yang sukar buat beliau. Beliau adalah pemain yang sangat komited sehingga saat ini.”

“Sanchez mungkin berpindah hari ini atau tidak berpindah langsung. Tetapi perkara ini akan ditentukan dalam masa 48 yang akan datang.”

“Beliau dalam keadaan bersedia dengan sebarang kemungkinan, jadi saya mengambil keputusan untuk tidak membawanya. Sanchez tidak bermain perlawanan menentang Bournemouth bukanlah disebabkan beliau tidak mahu bermain.”

BACA:  Barca Dan Man Utd Berkongsi Jaringan Dalam Perlawanan Epik