Pep Beri Bayangan Akan Mencari Pengganti Kepada Benjamin Mendy Yang Kerap Cedera

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui beliau mungkin mencari pemain pertahanan baru apabila jendela perpindahan musim panas dibuka untuk menggantikan tempat Benjamin Mendy yang sering dibelenggu masalah kecederaan.

Sejak berpindah ke Etihad dari Monaco pada musim panas 2017, Mendy hanya mampu melakukan 16 penampilan dalam Liga Perdana Inggeris sehingga ke hari ini akibat masalah kecederaan kaki yang sering menimpa dirinya.

Pep tidak boleh tunggu Mendy lagi selepas bermusim-musim cedera

Dalam perlawanan liga menentang West Ham awal pagi Khamis lalu, Mendy dinamakan dalam bangku simpanan City tetapi tidak digunakan.

Guardiola mendedahkan pemain berusia 24 tahun itu masih lagi jauh untuk mencapai tahap kecergasan penuh dan tidak dapat diturunkan bermain menentang West Ham.

“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku tetapi kami sedang berbincang mengenai peluang untuk mencari pemain yang mampu beraksi di posisi yang sama seperti Mendy.”

“Mendy tidak cergas pada hari ini, beliau mengalami kecederaan sejak dua musim yang lalu. Mungkin ia akan memasuki tiga musim, tetapi saya berharap ia tidak akan berlaku.”

“Mendy sedang berusaha untuk kembali cergas. Tetapi yang sebenarnya adalah kami hanya mampu menggunakan beliau untuk beberapa perlawanan sahaja. Itu realiti yang sebenar.”

City bermimpi quadruple musim ini. Mampukah mereka ?

“Jadi akhirnya, pemain paling kuat adalah pemain yang mampu bermain setiap hari dan itu adalah perkara sebenar. Jadi sebab itulah kami mungkin akan mencari pemain baru untuk musim hadapan.”

Manchester City berjaya menewaskan Chelsea dalam perlawanan akhir Piala Carabao pada hujung minggu lalu untuk trofi pertama mereka bagi musim ini.

The Citizens masih lagi mempunyai peluang untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan hanya dipisahkan 1 mata dengan pendahulu, Liverpool. Pasukan itu juga masih lagi bersaing dalam Liga Juara-Juara Eropah dan Piala FA dan berpeluang untuk menjadi pasukan pertama menggondol ‘quadruple’ jika segalanya berjalan dengan lancar.

Walaupun Manchester City masih lagi dianggap sebagai pasukan terkuat di England, ia tidak menghalang Guardiola untuk memperkuatkan skuadnya bagi menghadapi cabaran musim hadapan.

“Terdapat 3 atau 4 posisi yang saya rasa kami perlu mencari pemain baru. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini tetapi salah satu pilihan yang kami ada adalah mendapatkan bek kiri.”

“Kami juga akan cuba mencari pemain tengah bertahan yang baru dan satu lagi posisi masih lagi dalam pertimbangan.”

Dalam perkembangan lain pula, pemain antarabangsa Jerman Ilkay Gundogan dijangka akan meninggalkan Manchester City selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan untuk kontrak baru.

Adakah Lord ‘free transfer’, Juventus akan cuba mendapatkan Gundogan ?

Kontrak Gundogan akan tamat pada musim panas 2020 dan pemain itu sendiri pernah mengeluarkan kenyataan akan menunggu sehingga kontraknya hampir tamat sebelum membuat keputusan mengenai masa depannya.

“Gundogan tahu apa yang dia mahu. Beliau juga tahu pendapat kami terhadap beliau tetapi keputusan akhir bukan terletak dalam tangan kami.”

BACA:  Pep Guardiola Dikecam Kerana Mempertikaikan Kerusi Kosong Di Etihad