Sarri: Hazard Patut Tinggalkan Chelsea Jika Dia Mahu Keluar

Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri berkata Eden Hazard bebas untuk meninggalkan Chelsea sekiranya beliau mahu berbuat demikian.

Sarri juga berkata beliau mahu pemain antarabangsa Belgium itu untuk terus kekal di Stamford Bridge tetapi berpendapat Chelsea tidak sepatutnya menghalang perpindahan Hazard jika pemain tersebut berniat untuk keluar.

Sarri mahu Hazard terus kekal di Chelsea tetapi tidak akan menghalangnya untuk keluar jika Hazard sendiri mahu berpindah

Untuk sekian lama, Hazard telah dikaitkan dengan perpindahan ‘mega’ untuk menyertai juara Eropah, Real Madrid. Hazard juga pernah dipetik berkata berminat untuk mewakili Los Blancos sekiranya mempunyai peluang.

Kontrak Hazard bersama The Blues akan tamat pada penghujung musim hadapan dan Chelsea terdesak mahu Hazard menandatangani kontrak jangka panjang.

Jika Hazard enggan berbuat demikian, beliau akan bebas untuk berpindah secara percuma ke mana-mana kelab pilihannya pada musim panas 2020.

Mengenai isu pemain muda Chelsea, Callum Hudson-Odoi, Sarri bertegas yang Chelsea tidak akan melepaskan pemain tersebut kepada mana-mana kelab dalam jendela perpindahan Januari ini, dengan Bayern Munich menaruh minat.

Hazard berterusan dikaitkan dengan Real Madrid. Adakah Hazard akan menjadi Galacticos yang seterusnya ?

Namun demikian, dalam isu Hazard pula, Sarri mengambil pendekatan yang berbeza apabila berkata Hazard patut diberi pilihan untuk menentukan masa depannya kerana pemain tersebut sudah pon berusia 28 tahun.

“Situasi Hazard berbeza dengan situasi kami dengan Hudson-Odoi.” Beritahu Sarri kepada sidang media menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris menentang Bournemouth awal pagi nanti.

“Hazard kini berusia 28 tahun. Jika beliau mahu keluar, saya rasa beliau perlu keluar dari Chelsea.”

“Sudah tentu, saya berharap perkara sebaliknya yang berlaku. Saya berharap beliau akan terus kekal di sini.”

“Beliau mempunyai potensi untuk menjadi pemain terbaik di Eropah pada masa sekarang.”

Hazard menyertai Chelsea pada tahun 2012 dan telah memainkan peranan penting dalam membantu kelab tersebut memenangi pelbagai trofi sepanjang 7 musim di Stamford Bridge. Antara pencapaian terbaik beliau adalah memenangi dua trofi Liga Perdana Inggeris disamping Piala FA musim lepas.

Musim ini menyaksikan Hazard sudah berjaya menjaringkan 10 gol dan mencipta 10 assists dari 23 perlawanan Liga Perdana Inggeris walaupun kerap digunakan sebagai ‘False 9’ oleh Sarri bagi mengatasi masalah ketumpulan jentera serangan Chelsea.

Dalam perkembangan lain pula, Chelsea dilaporkan telah menolak permohonan rasmi dari Hudson-Odoi untuk berpindah dan menyertai Bayern Munich.

Hudson-Odoi dminta untuk lebih menghormati akademi Chelsea yang bertungkus lumus membentuk beliau menjadi pemain yang bagus.

Chelsea juga tidak akan melayan permintaan Hudson-Odoi untuk berpindah ke mana-mana kelab pada musim panas nanti dan bersedia untuk kehilangan khidmat pemain tersebut secara percuma pada musim panas 2020 nanti.

Walaupun masih belum membuat sebarang penampilan dalam kesebelasan utama untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris, ia tidak menghalang Bayern Munich untuk menghantar bidaan berjumlah  £35 juta terhadap pemain tersebut.

BACA:  Maurizio Sarri Semakin Hampir Untuk Diumumkan Sebagai Ketua Jurulatih Chelsea Yang Baru