Premier League Siasat Chelsea Dakwaan Salur Dana Kepada Entiti Rahsia Rusia

Premier League dilaporkan membuka siasatan terhadap Chelsea selepas kelab itu didakwa menyalurkan bayaran dan dana haram kepada sebuah entiti rahsia Rusia melalui pembelian William dan Samuel Eto’o ketika era pemilikan Roman Abramovich.

Dua bekas pemain itu melengkapkan perpindahan ke Chelsea pada 2013 daripada kelab Rusia Anzhi Makhachkala dan The Times mengesahkan perpindahan kedua-dua pemain itu kini kembali menjadi perhatian.

Abramovich menjual Chelsea kepada Todd Boehly pada tahun lalu pada nilai £4.2 billion selepas pihak kerajaan menggantung semua pembabitan jutawan minyak itu selepas pencerobohan tentera Rusia di Ukraine.

Pihak Premier League bagaimanapun menyiasat pembelian pemain ketika ia masih berada di bawah pemilik lama, ketika William dan Eto’o berhijrah ke Stamford Bridge.

Pemilik Chelsea pada masa ini, Boehly dilaporkan turut melihat dan menyiasat transaksi perpindahan kedua-dua pemain ketika proses mengambil alih kelab London itu daripada Abramovich.

Pemain sayap Brazil Willian menyertai Chelsea dengan nilai £30 juta daripada Anzhi Makhachkala selepas pemain itu terlebih dahulu bersetuju untuk menyertai Tottenham.

Bekas penyerang Barcelona dan Inter Milan Eto’o turut menyertai Chelsea pada jendela perpindahan yang sama selepas sanggup menerima pemotongan gaji £10 juta untuk meninggalkan San Siro.

Laporan kewangan yang dilihat kembali membabitkan perpindahan kedua-dua pemain menunjukkan terdapat bayaran dipindahkan oleh Chelsea kepada pihak yang didakwa adalah ‘entiti Rusia’.

Kedua-dua pemain dipercayai tidak tahu mengetahui mengenai bayaran tersebut. Namun bayaran tersebut pantas mendapat perhatian selepas audit untuk setiap transaksi kewangan di era Abramovich dilakukan.

Chelsea melalui satu kenyataan menjelaskan bayaran dan pemindahan wang tersebut tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana pihak atau individu yang berada di Stamford Bridge pada hari ini.

“Siasatan ini adalah berkaitan dengan pemilik terdahulu. Entiti yang dimaksudkan didakwa dikawal oleh pemilik terdahulu dan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana individu di dalam kelab pada hari ini,” ujar kenyataan tersebut.

“Pemilikan baharu kelab ini dilengkapkan pada 30 Mei 2022. Ketika proses melengkapkan pemilikan, pemilik baharu mendapat tahu mengenai laporan kewangan daripada pemilik sebelum ini yang menimbulkan keraguan.

“Dan sebaik sahaja pemilikan dilengkapkan, pemilik baharu kelab secara pro aktif membuat laporan mengenai perkara ini kepada pihak berkuasa bola sepak.

“Berdasarkan pendirian dan prinsip pemilik kelab pada hari ini yang mementingkan ketelisan, pihak kelab secara pro aktif akan membantu siasatan.”

Senario terburuk, Chelsea boleh dipotong mata jika dihadapi bersalah untuk laporan yang mereka lakukan sendiri.

BACA:  Mourinho Puji Sikap Profesional Pogba Walaupun Tidak Dipilih Bermain