Harry Maguire berkata keputusan beliau untuk terus kekal bersama Manchester United dan berjuang untuk merebut kembali tempat di dalam kesebelasan utama skuad kendalian Erik ten Hag kini telah membuahkan hasil selepas beberapa penampilan beturut-turut.
Maguire sebelum ini kelihatan sudah hilang tempatnya di dalam skuad United setelah prestasi cemerlang yang ditampilkan gandingan Raphael Varane, Lisandro Martinez dan Victor Lindelof.
Ketiga-tiga pemain pertahanan itu menjadi pemain pilihan utama untuk diturunkan oleh Ten Hag selepas prestasi tidak menentu dan kesilapan mudah yang sering dipamerkan oleh Maguire.
Ini menyebabkan Maguire hampir sahaja menyertai West Ham pada jendela perpindahan musim panas yang lalu, namun ia tidak menjadi kenyataan apabila Maguire memilih untuk terus berjuang mendapatkan kembali tempatnya – setelah turut dilucutkan peranan sebagai kapten pasukan ketika pra musim.
Harry Maguire said his patience at Man United has paid off 👏 pic.twitter.com/ao2nQ2ZUZE
— ESPN FC (@ESPNFC) November 13, 2023
Pilihan itu jelas adalah pilihan yang tepat oleh Maguire yang mengambil kesempatan daripada kecederaan yang menimpa Varane dan Martinez dengan prestasi cemerlang sehingga membenarkan dirinya bermula sebagai pemain kesebelasan utama Red Devils dalam lapan perlawanan berturut-turut setakat ini.
Ditanya mengenai penampilannya itu adalah indikasi daripada semangat kentalnya untuk kekal bersama United, Maguire berkata kepada wartawan: “Sudah tentu.”
“Rapha (Varane) dan Licha (Martinez) beraksi dengan sangat baik pada musim lalu dan merekodkan banyak perlawanan tanpa bolos. Saya harus bersabar dan menunggu waktu yang sesuai,” kata pemain pertahanan England itu selepas kemenangan 1-0 ke atas Luton pada hujung minggu lalu.
🚨 Ten Hag: “No problem, no issue with Varane. It is about tactical reasons why I chose these partnerships”.
“Last year, Varane was playing and Harry Maguire on the bench. In this moment, Harry is playing very well and there is internal competition”. pic.twitter.com/mmudACYNWt
— Fabrizio Romano (@FabrizioRomano) November 10, 2023
“Saya memiliki dua atau tiga peluang pada musim lalu untuk membina momentum tetapi saya kemudiannya demam. Saya juga terpaksa berehat kerana kecederaan sebanyak dua kali.
“Ini bermakna saya tidak mendapat rentak yang diperlukan, dan tidak mempunyai jumlah perlawanan yang mencukupi untuk membuktikan kemampuan diri kepada pengurus.
“Sekarang saya mempunyai minit perlawanan yang diperlukan. Saya menikmati bermain bola sepak dan seronok bermain untuk kelab ini.”
United kini berada di kedudukan keenam Premier League, dan akan bertandang ke Everton yang kini berada di kedudukan ke-14 liga pada 26 November hadapan.