Lima Kekalahan Paling Memalukan Man Utd Dalam Sejarah Saingan Premier League

Manchester United dianggap sebagai antara pasukan paling berjaya dalam sejarah saingan Premier League, atas segala pencapaian mereka ketika era Sir Alex Ferguson.

Mereka berjaya memenangi gelaran Premier League sebanyak 13 kali dan turut memenangi pelbagai lagi kejuaraan lain baik domestik mahupun di luar.

Walau bagaimanapun, sejak dari musim 2012/13, yang mana Sir Alex Ferguson mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bola sepak, Manchester United sudah tidak lagi menjadi pasukan yang digeruni.

Sejak tujuh musim terakhir ini, Manchester United telah memiliki empat orang pengurus yang berbeza, namun mereka masih gagal untuk menjulang kejuaraan liga.

Manchester United juga sepertinya sudah tidak begitu mampu untuk memberi saingan kepada kelab-kelab gergasi Inggeris yang lain.

Mereka gagal mempamerkan aksi persembahan yang konsisten dan menyebabkan mereka sering mencatatkan keputusan yang mendukacitakan.

Pada musim 2020/21, United mula menunjukkan peningkatan yang baik terutama selepas mereka menandatangani Bruno Fernandes.

Mereka ketika itu mengakhiri saingan Premier League di kedudukan kedua, dan turut berjaya untuk mara ke aksi perlawanan akhir saingan Europa League.

Musim ini, mereka dianggap antara pasukan kegemaran untuk menjuarai saingan Premier League, apa lagi selepas melakukan tiga penandatanganan mega.

Red Devils berjaya melengkapkan penandatanganan Jadon Sancho, Raphael Varane dan Cristiano Ronaldo, dan kerana itulah mereka dianggap pasukan paling berpotensi untuk menjuarai liga.

Walau bagaimanapun, ramalan itu ternyata meleset selepas United mencatatkan beberapa keputusan yang sangat mengecewakan sejak kebelakangan ini.

Terbaru, mereka dibelasah tanpa belas oleh Liverpool di Old Trafford dan keputusan itu dianggap antara rekod terburuk dalam sejarah Manchester United.

Red Devils sememangnya jarang mencatatkan keputusan buruk, namun mereka beberapa kali juga tewas dalam keadaan yang agak mengaibkan.

Berikut merupakan lima kekalahan terburuk dan paling memalukan untuk Manchester United dalam sejarah saingan Premier League.

5) Newcastle United 5-0 Manchester United (1996-97)

Kembali mengenang era kegemilangan Newcastle United, mereka mempunyai skuad yang sangat mantap dan dianggap yang terhebat dalam saingan Premier League.

Pada musim 1996/97, skuad kendalian Kevin Keegan itu berjaya membelasah Manchester United 5-0 di St James Park dan ia merupakan antara rekod terbaik Newcastle bertemu The Red Devils.

Kemenangan itu berjaya dicatatkan pada awal musim dengan Manchester United pada ketika itu sedang mencari rentak terbaik mereka.

Walau bagaimanapun, tiada siapa yang meramalkan bahawa Manchester United boleh dikejutkan dengan kekalahan seteruk itu di tangan Newcastle.

Darren Peacock membuka tirai jaringan untuk Newcastle United seawal minit ke-12 dalam perlawanan itu, sebelum David Ginola, Les Ferdinand dan Alan Shearer turut mencatat nama sebagai penjaring gol, untuk membantu Newcastle mendahului 4-0.

Menjelang tamat perlawanan, Philippe Alberts berjaya menjaringkan gol yang cantik dari jarak 25 ela untuk menewaskan Peter Schmeichel, seterusnya mengesahkan kekalahan 5-0 United di tangan mereka.

4) Chelsea 5-0 Manchester United (1999/00)

Tidak lama selepas Manchester United memenangi gelaran continental treble pada musim 1998/99, Chelsea telah membelasah mereka tanpa belas dalam saingan Premier League.

Pada ketika itu juga, Chelsea sebenarnya telah berjaya mengakhiri rekod 29 perlawanan tanpa kalah Manchester United dalam saingan Premier League.

Gus Poyet berjaya meledak dua gol untuk The Blues, dengan skuad kendalian Sir Alex Ferguson itu dilihat hilang arah dan mati kutu di Stamford Bridge.

Setan merah pada ketika itu memulakan saingan liga dengan teruk namun mereka akhirnya berjaya memenangi liga dengan kelebihan 18 mata.

Poyet menjaringkan gol pembukaan Chelsea sebelum Chris Sutton menggandakan kedudukan 15 minit selepas itu.

Untuk memburukkan lagi keadaan untuk setan merah, mereka kemudiannya terpaksa bermain dengan 10 orang pemain selepas Nicky Butt dilayangkan dengan layangan kad merah.

Chelsea pada ketika itu memanfaatkan kelebihan tersebut dengan membelasah Manchester United 5-0 termasuk satu lagi gol sendiri yang dijaringkan oleh Henning Berg.

3) Manchester United 1-6 Tottenham Hotspur (2020-21)

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer diaibkan oleh skuad Tottenham Hotspur yang ketika itu dikendalikan oleh bekas pengurus setan merah, Jose Mourinho.

Selepas United menjaringkan gol pembukaan menerusi Bruno Fernandes menerusi sepakan penalti pada minit kedua permainan, Spurs berjaya bangkit dan terus membenam setan merah.

Tidak sampai tujuh minit perlawanan berlangsung, Spurs berjaya meledak dua gol menerusi Tanguy Ndombele dan Son Heung Min.

Perlawanan kemudian berlangsung agak seimbang sehinggalah United kehilangan khidmat Anthony Martial yang dilayangkan kad merah kerana mengasari Erik Lamela.

Skuad kendalian Jose Mourinho itu kemudiannya semakin bernafsu untuk membantai Manchester United dengan mereka di akhir perlawanan mencatatkan kemenangan 6-1.

Son Heung Min dan Harry Kane menjaringkan dua gol, sementara Serge Aurier dan Tanguy Ndombele menjaringkan satu gol untuk melengkapkan kemenangan 6-1 mereka menewaskan United.

Kemenangan itu merupakan kemenangan terbesar Tottenham Hotspur bertemu Manchester United dalam sejarah saingan Premier League.

2) Manchester United 1-6 Manchester City (2011-12)

Manchester United bolos enam gol buat pertama kalinya di Old Trafford sejak 1930 bertemu seteru sebandar mereka, Manchester City pada musim 2012/12.

Mario Balotelli dan Edin Dzeko masing-masing menjaringkan dua gol untuk membantu Citizens membantai Manchester United pada ketika itu.

Walau bagaimanapun, Manchester City sebenarnya hanya mendahului perlawanan 1-0 sahaja pada awalnya ketika Jonny Evans dilayangkan kad merah pada minit ke-47 permainan.

Skuad kendalian Roberto Mancini itu kemudiannya lebih bernafsu untuk mengganyang Manchester United untuk mencatatkan kemenangan besar di Old Trafford.

Sergio Aguero dan David Silva berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan ini, sementara Darren Fletcher kemudiannya menjaringkan satu gol untuk United.

Ia merupakan antara perlawanan yang paling tidak mahu diingati oleh Manchester United selepas mereka dibelasah teruk oleh musuh sebandar mereka di Old Trafford.

1) Manchester United 0-5 Liverpool (2021-22)

Kekalahan mengaibkan bertemu Liverpool kemarin berada di kedudukan pertama dalam senarai ini, dan ia dianggap kekalahan paling memalukan Manchester United dalam sejarah saingan Premier League.

Manchester United dan Liverpool tidak dinafikan lagi sememangnya antara perseteruan terhangat dalam dunia bola sepak sepanjang zaman.

Perlawanan dua musuh tradisi itu senantiasa menyajikan aksi panas dan kedua-dua pasukan juga senantiasa mempamerkan aksi yang luar biasa menakjubkan ketika mereka dipertemukan.

Manchester United turun dalam perlawanan ini dengan semangat yang membara selepas mereka mencatatkan kemenangan 3-2 menewaskan Atalanta dalam saingan Champions League.

Walau bagaimanapun, United jelas sekali tidak mampu menandingi kehandalan Liverpool dengan mereka dibelasah teruk oleh anak-anak buah Jurgen Klopp.

Aksi babak pertama berakhir dengan keputusan 4-0 selepas Naby Keita, Diogo Jota dan Mo Salah (2) meledak gol awal untuk Liverpool dalam perlawanan tersebut.

Masuk aksi babak kedua permainan, Mo Salah berjaya mencipta hat-trick untuk melengkapkan kemenangan 5-0 Liverpool menewaskan Manchester United.

Paul Pogba kemudiannya dilayangkan dengan layangan kad merah selepas mengasari Naby Keita dan menyebabkan setan merah semakin tertekan untuk menghabiskan baki permainan dengan kekurangan seorang pemain.

Mujur saja Liverpool kemudiannya mengendurkan rentak permainan mereka, dengan mereka sekadar bermain bertukar hantaran sahaja tanpa berminat untuk terus meledak gol.

Ia jelas sekali merupakan kekalahan paling memalukan Manchester United dalam sejarah saingan Premier League.

Sumber: Sportskeeda

BACA:Β  Pogba Gesa Mouriho Guna Taktik Yang Lebih Menyerang