“Saya Tak Pernah Ikhlas Sertai PSG” – Messi

Lionel Messi mengakui dirinya tidak pernah mempunyai perancangan atau ikhlas untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG) pada 2021 dalam satu komen yang agak ganas terhadap bekas majikannya itu.

Melalui satu sidang media di Miami, pemenang Ballon d’Or sebanyak tujuh kali itu bercakap mengenai cabaran baharu yang dihadapinya di MLS.

Legenda Barcelona itu menolak peluang untuk kembali ke Catalonia pada Jun sebelum melebarkan kariernya ke Amerika Syarikat.

Dan sejak bergelar pemain Inter Miami, Messi telah menjaringkan sembilan gol daripada enam penampilan dan pemain itu turut akan memimpin jentera serangan pasukan baharunya itu di perlawanan akhir Piala Liga.

Dipetik daripada TyC Sports, Messi berkata: “Kami masih berada di peringkat untuk menyesuaikan diri setelah tiba di Miami sebulan setengah yang lalu.

“Kami masih belum memiliki rumah untuk didiami, tetapi ia amat mudah untuk memilih ke Miami.

“Kami diyakinkan untuk ke sini dan semua pihak yang terlibat memudahkan proses itu, itu termasuk mereka yang berada di kelab, penyokong di sini dan masyarakat yang saya temui di jalanan.

“Bandar [Miami] amat spektakular dan ia membuatkan anda menetap di sini dengan damai dan mudah. Anak-anak akan mulai bersekolah dalam masa terdekat. Tak banyak perkara perlu dilakukan lagi, ia lebih mudah daripada apa yang dijangka.

“Tetapi ia sangat rumit ketika berpindah dari Barcelona ke Paris.”

Pemenang Piala Dunia 2022 itu kemudiannya membuat komen yang menyindir PSG.

“Saya gembira dan menikmati perjalanan baharu dalam karier saya dan menetap di negara ini. Saya sentiasa mengimpikan perkara ini. Kami berada di tempat yang kami idamkan selama ini.

“Penghijrahan ke Paris [sebelum ini] bukanlah perkara yang kami impikan dan ikhlas untuk dilakukan. Ia tidak pernah ada di dalam perancangan.

“Saya tidak pernah mahu meninggalkan Barcelona tetapi keadaan menjadi sukar. Perkara sebaliknya berlaku kepada saya sekarang [berbanding pengalaman menyertai PSG].

Pada 2021 Messi menangis ketika mengumumkan terpaksa meninggalkan Barcelona untuk menyertai PSG.

Walaupun perpindahan tersebut adalah percuma, ia jelas ikon bola sepak itu tidak pernah mahu meninggalkan Nou Camp pada ketika itu.

Messi turut meninggalkan PSG dalam keadaan yang keruh kerana tidak mempunyai hubungan baik dengan penyokong dan pihak kelab sebelum menyertai Inter Miami.

Pada hujung musim lalu Messi turut digantung oleh PSG selama seminggu kerana terbang ke Arab Saudi sebagai duta pelancongan tanpa kebenaran kelab.

BACA:  Berita Baik Buat Peminat Brazil, Neymar Dijangka Kembali Beraksi Dalam Masa Sebulan