Selepas Mourinho, Giliran Ole Cari Gaduh Dengan Botol Tepi Padang

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berubah menjadi jelmaan Jose Mourinho di tepi padang ketika aksi bertemu West Ham semalam, selepas beliau melepaskan kemarahannya pada botol yang tidak berdosa.

Ole yang sebelum ini santai, tenang, damai ketika berada di tepi padang, berubah menjadi aggresif ketika melihat pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada West Ham.

Said Benrahma membuka tirai jaringan untuk West Ham di London Stadium pada aksi babak pertama permainan, sebelum gol pendahuluan tersebut di padam oleh Cristiano Ronaldo.

Jesse Lingard kemudiannya dimasukkan pada aksi babak kedua permainan, seterusnya menjadi wira United dengan beliau meledak gol kemenangan setan merah di minit-minit akhir permainan.

Walau bagaimanapun, kegembiraan United tidak kekal lama selepas VAR memutuskan untuk menghadiahkan sepakan penalti kepada West Ham, kerana mendakwa bola terkena tangan Luke Shaw di dalam kotak penalti.

Pengadil perlawanan, Martin Atkinson kemudiannya merujuk semula video rakaman semula dan mengesahkan sepakan penalti untuk The Hammers.

Solskjaer yang bengang dengan keputusan tersebut segera mencampakkan botol di tepi padang tanda melepaskan kemarahannya.

Para penyokong setan merah kemudiannya berkongsi di media sosial tentang reaksi yang ditunjukkan oleh Solskjaer, dengan ramai yang terkejut melihat reaksi pengurus dari Norway itu.

Reaksi Solskjaer mengingatkan para peminat kepada reaksi yang ditunjukkan oleh Jose Mourinho di tepi padang ketika kariernya sebagai pengurus setan merah.

Marouane Fellaini menjaringkan gol yang cukup dramatik pada waktu kecederaan bertemu Young Boys dalam aksi Champions League 2018, dan memastikan setan merah layak ke pusingan 16 terbaik.

Mourinho dilihat menghempas sekawan botol yang ada di tepi padang sebagai tanda kelegaan dan gembira dengan kejayaan anak-anak buahnya.

Pengurus David Moyes mengeluarkan Jarrod Bowen dan memasukkan Mark Noble pada masa kecederaan permainan untuk pemain veteran itu mengambil sepakan penalti.

Noble walau bagaimanapun gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti itu selepas David De Gea cemerlang menafikan percubaan beliau.

Bercakap selepas tamat aksi kemenangan 2-1 menewaskan West Ham di London Stadium, Solskjaer tampil mempertahankan Luke Shaw dan mempersoalkan keputusan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah.

Kemenangan ini membawa United terus mencabar kedudukan sebagai pendahulu saingan liga dengan mereka kini berkongsi 13 mata bersama Chelsea dan Liverpool.

Ketiga-tiga pasukan itu hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan sahaja dan kesemua mereka merekodkan lima perlawanan tanpa kalah setakat ini.

United jelas sekali berada di landasan terbaik untuk memenangi Piala pertama mereka di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer.

Kehadiran semula Cristiano Ronaldo tentunya memberi nafas baru kepada United serta menaikkan semangat mereka untuk terus mencabar kejuaraan liga.

Sumber: SPORTbible

BACA:ย  Mourinho Anggap Deschamps Punca Kekalahan Perancis Di Tangan Switzerland