Sergi Roberto Dakwa Dia Kini Hanya Dibayar Setara Gaji Pemain Remaja Barcelona

Pemain Barcelona, Sergi Roberto telah mendakwa bahawa dia kini hanya dibayar setara gaji pemain pasukan remaja oleh kelab Catalan ini menjadi bukti betapa meruncingnya kewangan mereka.

Bukanlah satu rahsia lagi dan tidak hairanlah untuk mendengar cerita seperti ini kerana gergasi Catalan itu mengalami masalah kewangan sejak beberapa tahun lalu.

Gabungan pinjaman, membuat keputusan yang lemah, kehilangan Lionel Messi dan perancangan skuad yang lemah semuanya telah digabungkan untuk meninggalkan kelab itu dalam keadaan sekarang, tetapi mereka kini menduduki tangga teratas La Liga mengatasi saingan ketat Real Madrid.

Dunia bola sepak juga melihat legenda Barca Gerard Pique mendedahkan selepas bersara sebelum Piala Dunia, bahawa berhutang dengannya lebih €30 juta tetapi mereka masih berjaya mendapatkan TUJUH pemain baru dijendela perpindahan musim panas.

Nafsu serakah Presiden mereka, Joan Laporta Estruch tidak pernah padam dalam berbelanja dengan menjual aset kelab melepaskan sebahagian pegangan seperti hak penyiaran dan hak lesen cenderamata.

Xavi yang merupakan legenda kelab yang kini menjadi pengurus juga seperti tidak mahu menggunakan skuad yang ada dan lebih bersabar dengan mendapatkan pemain dengan lebih berhemah.

Untuk merealisasikan perkara ini, Barcelona telah menindas pemain yang ada dan yang setia dengan memaksa pemain menerima pemotongan gaji demi kelab seperti dialami Sergi Roberto.

Selama bertahun-tahun di Catalan, Sergi Roberto telah membuat 328 penampilan untuk kelab itu dan telah memenangi enam kejuaraan liga, serta dua gelaran Liga Juara-Juara di antara banyak trofi lain, tetapi pada masa ini mendapati dirinya tidak dibayar dengan setimpal kerana kesempitan kewangan kelab.

“Sekarang saya menjana pendapatan seolah-olah saya baru datang dari pasukan B, tetapi saya melakukannya dengan bangga kerana saya mahu berada di sini,” katanya.

“Saya mahu tinggal di sini dan sekarang saya menikmatinya. Bagi saya bahagian ekonomi tidak penting. Sekarang apa yang saya mahukan ialah menikmati sesuatu. Setahun? Nah, kemudian hanya setahun. Saya mahu kembali cergas secara fizikal dan menikmati diri saya semula.”

“Saya tidak perlu mengurangkan gaji kerana kontrak saya tamat. Kami terpaksa berunding untuk kontrak yang baru. Kapten juga telah membuat usaha [ekonomi]. Dua tahun lalu hanya kami yang melakukannya. Kami berusaha tetapi kami tidak mahu berkata apa-apa.”

Roberto, 30 tahun, menandatangani lanjutan satu tahun pada musim panas lalu, tetapi kini kontraknya akan tamat pada Jun dan walaupun segala-galanya berlaku di kelab itu, dia berharap untuk terus kekal.

“Kami belum mula bercakap lagi, tetapi idea saya adalah untuk kekal. Daripada apa yang dikatakan oleh kakitangan kejurulatihan kepada saya, mereka sangat gembira dan mahu saya kekal,”tambahnya.

“Saya menikmati bola sepak sekali lagi dan saya akan sangat teruja untuk meneruskan. Di atas segalanya, saya mempunyai perasaan yang baik dan saya mahu dapat menikmati bermain dalam jersi Barca.”

Roberto terpaksa berdepan masalah otot dan bahu musim ini yang menyaksikan dia terlepas lapan perlawanan, tetapi dia masih berjaya memulakan enam perlawanan dalam liga dan Liga Juara-Juara.

Dia mempunyai dua gol dan dua bantuan gol dalam 573 minit dalam 12 penampilan dan kerap diletakkan dibangku simpanan, tetapi kekal sebagai pemain skuad yang berguna.

Gaji pemain remaja yang datang dari pasukan B ke pasukan utama biasanya kurang dari €10,000 seminggu berbanding gaji sebenar Sergi Roberto iaitu sekitar €96,000.

Namun semua ini terjadi atas kerelaan Sergi Roberto demi lencana di dada tanpa memikirkan Barcelona berbelanja lebih €150 juta untuk mendapatkan pemain baru walaupun empat daripadanya ada secara percuma.

BACA:  Barcelona Berjaya Jual Hak Penyiaran TV RM1.23 Bilion