Barcelona Capai Persetujuan Dengan Bayern Munich Untuk Mendapatkan Arturo Vidal

Barcelona mencapai persetujuan dengan Bayern Munich bagi menandatangani pemain tengah Chile, Arturo Vidal dengan tawaran kontrak selama 3 tahun.

Yuran perpindahan tidak diumumkan tetapi pihak media melaporkan Barcelona membayar £27 juta untuk membawa masuk Vidal ke Nou Camp. Pemain antarabangsa Chile ini pada mulanya dijangka menyertai Inter Milan tetapi Barcelona menyatakan minat mereka pada saat akhir dan berjaya memujuk Vidal untuk berpindah ke Sepanyol.

Vidal yang kini berusia 31 tahun dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain antarabangsa Brazil, Paulinho yang kembali pulang ke pangkuan kelab lamanya, Guangzhou Evergrande  di China.

Vidal dibawa masuk kerana Barcelona perlukan pemain box to box seperti Paulinho

Kedua-dua pemain mempunyai persamaan yang nyata dimana Vidal dan Paulinho merupakan pemain yang sinonim dengan peranan ‘box-to-box midfielder’.

Vidal dibawa masuk ke Bayern Munich dari Juventus oleh Pep Guardiola pada tahun 2015 dan sepanjang 3 musim beraksi di Bundesliga, Vidal tidak pernah gagal menjulang Bundesliga.

Ketika beraksi untuk Juventus, beliau memenangi 4 kejuaraan Serie A berturut-turut dan memenangi Coppa Italia pada musim terakhirnya di Itali. Selain itu, beliau berjaya membantu Juventus mara sehingga perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah 2015/2016 sebelum dikecewakan Barcelona.

Memenangi 3 Bundesliga sepanjang 3 musim beraksi dengan Bayern Munich. Hebat

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan Barcelona, Vidal dijangka tiba di Nou Camp tidak lama lagi dan majlis pengenalan rasminya akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Barcelona akan mengumumkan kepada semua pihak bila Vidal akan tiba dan majlis pengenalan rasmi pemain berkenaan.”

Bayern Munich turut melakukan perkara sama dengan mengucapkan terima kasih di atas segala sumbangan Vidal kepada kelab tersebut sepanjang 3 tahun bersama.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Arturo Vidal di atas semua sumbangan yang telah beliau berikan kepada kelab ini. Kami juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Vidal ketika bermain di Sepanyol.”

Presiden Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge turut memuji impak yang dihasilkan Vidal sepanjang bergelar pemain kelab berkenaan.

Ramai peminat Bayern kecewa dengan keputusan pihak pengurusan melepaskan pemain yang mempunyai pengaruh besar seperti Vidal

“Beliau sentiasa menyerlah ketika beraksi dalam perlawanan yang penting dan kami boleh bergantung harap kepada beliau.”

Selain memenangi 3 kejuaraan Bundesliga, Vidal turut memenangi satu Piala Jerman dan dua Piala Super Jerman. Dalam ucapan perpisahannya, Vidal mengucapkan terima kasih kepada Bayern Munich kerana membenarkan beliau mencuba cabaran baru bersama Barcelona.

Di peringkat antarabangsa pula, Vidal dianggap pemain veteran Chile dan sudah mengumpul 100 penampilan bersama negaranya. Beliau juga berjaya membantu Chile memenangi Copa America pada tahun 2015.

BACA:  Jerome Boateng Dedah Punca Sebenar Tolak Lamaran Manchester United