Zidane Jadi Pilihan Utama Ganti Tuchel Di Bayern Munich

Bekas pengurus Real Madrid Zinedine Zidane kini menjadi sebutan sebagai pilihan utama untuk menggantikan tempat Thomas Tuchel di Bayern Munich pada musim panas ini.

Zidane dikhabarkan akan kembali mengendalikan pasukan bola sepak pada musim panas ini dan sebelum ini turut dikaitkan bakal mengganti tempat Didier Deschamps sebagai jurulatih skuad kebangsaan Perancis.

Bekas pemain tengah itu tidak terikat dengan mana-mana kelab sejak meninggalkan Madrid pada penghujung musim 2020/21.

Walaupun tidak terlibat langsung dengan mana-mana pasukan sejak tiga musim lalu, ‘saham’ Zidane tetap panas dan telah dikaitkan dengan beberapa pasukan utama Eropah sepanjang tempoh itu.

Walaupun spekulasi mengaitkan Zidane sebagai pengurus skuad kebangsaan Perancis yang baharu, Zidane dikatakan mahu memberikan fokus untuk mengendalikan pasukan berstatus kelab.

Media Itali Corriere Dello Sport melaporkan Zidane kini menjadi pilihan untuk menggantikan Tuchel di Munich.

Turut dikaitkan bakal menggantikan Tuchel adalah bekas pengurus, Hansi Flick dan Xavi Hernandez yang sah meninggalkan Barcelona pada penghujung musim ini.

Tuchel kini berada di dalam tekanan di Bayern selepas tiga kekalahan berturut-turut dialami kelab Bavarian itu, sekaligus menyebabkan impian mempertahankan kejuaraan Bundesliga pada musim ini terancam.

Kesengsaraan Bayen bermula apabila kelab itu tewas 3-0 kepada Bayer Leverkusen – perlawanan di mana mereka gagal menghasilkan walau satu percubaan tepat ke arah gawang lawan – pada minggu lalu.

Ia kemudiannya diikuti dengan kekecewaan di Champions League, tewas 1-0 kepada Lazio di perlawanan pusingan pertama 16 pasukan terbaik.

Kekalahan kepada Bochum menyebabkan Bayern kini ketinggalan lapan mata kepada Leverkusen yang selesa menerajui kedudukan Bundesliga.

BACA:  Kovac: Bayern Munich Tidak Boleh Lakukan Kesilapan Apabila Berdepan Liverpool