Tuchel Terus Tertekan Selepas CEO Bayern Munich Enggan Beri Kenyataan Beri Sokongan

Bayern Munich tidak akan memecat Thomas Tuchel selepas kekalahan mengejut 3-2 kepada Bochum.

Namun masa depan Tuchel bersama kelab Bavarian itu kini menjadi tanda tanya selepas CEO kelab Jan Christian-Dreesen secara terbuka enggan memberikan kenyataan untuk sebagai tanda sokongan kepada jurulatih itu.

Pada satu ketika Bayern ketinggalan 3-1 kepada Bochum dalam perlawanan yang terganggu sebanyak dua kali akibat protes daripada penyokong.

Penyerang England Harry Kane berjaya mengurangkan defisit jaringan selepas itu namun tetap gagal membantu pasukannya mengelak daripada kekalahan buat kali ketiga berturut-turut.

Prestasi semasa kelab Bavarian itu memberikan tekanan berterusan kepada Tuchel dan laporan Sky Sports berkata buat masa ini jurulatih itu tidak akan meletakkan jawatannya dan yakin dirinya tidak akan dipecat.

Malangnya keyakinan Tuchel itu tidak disokong oleh CEO kelab, Dreesen yang jelas kecewa di dalam kenyataannya selepas kekalahan terbaru ini.

“Sangat jelas persoalan ini akan timbul jua akhirnya, dan ia telah berlegar-legar [di dalam media] buat seketika.

“Saya tidak percaya dengan kenyataan besar yang memberikan sokongan kepada jurulatih. Saya pernah menjelaskan perkara ini sebelum ini. Hari ini ia bukan persoalan yang perlu kami hadapi. Kami harus memberikan fokus kepada perlawanan seterusnya.

“Saya tahu apa yang anda mahu dengar. Saya boleh saja katakan semua itu. Tetapi janji kesetiaan sebegini biasanya hanya kekal seminggu. Jadi menurut kefahaman saya dan seperti yang dikatakan sebelum ini, ia belum lagi isu yang perlu kami tangani sekarang.”

Kenyataan terbaru daripada Dreesen enggan memberi jaminan terhadap masa depan Tuchel pasti akan menimbulkan lebih banyak spekulasi selepas ini.

Kesengsaraan Bayen bermula apabila kelab itu tewas 3-0 kepada Bayer Leverkusen – perlawanan di mana mereka gagal menghasilkan walau satu percubaan tepat ke arah gawang lawan – pada minggu lalu.

Ia kemudiannya diikuti dengan kekecewaan di Champions League, tewas 1-0 kepada Lazio di perlawanan pusingan pertama 16 pasukan terbaik.

Kekalahan kepada Bochum menyebabkan Bayern kini ketinggalan lapan mata kepada Leverkusen yang selesa menerajui kedudukan Bundesliga.

Bayern akan melalui satu lagi ujuan sukar menentang RB Leipzig pada 24 Februari. Leipzig beraksi dengan cemerlang menentang Real Madrid pada di Champions League pada minggu lalu walaupun tewas 1-0.

Pasukan itu kemudiannya menewaskan Borussia Monchengladbach 2-0 pada hujung minggu lalu dan kini berada di kedudukan kelima Bundesliga.

BACA:  Tuchel: Areola Berada Di Hadapan Buffon Buat Masa Sekarang