Tuchel Salahkan Pengadil Punca Bayern Kalah Di Tangan Real Madrid

Thomas Tuchel menyalahkan pengadil sebagai punca kepada kekalahan Bayern Munich di tangan Real Madrid pada aksi separuh akhir Liga Juara Juara Eropah di Santiago Bernabeu.

Menurut Tuchel, penjaga garisan membuat kesilapan ketika membatalkan gol oleh Matthijs De Ligt. Pengadil pula tidak menyemak gol yang dibatalkan itu menerusi VAR.

Bayern Munich awalnya mendahului Real Madrid menerusi gol oleh Alphonso Davies pada minit ke-68.

Namun kesilapan Manuel Neuer membolehkan pemain gantian, Joselu menyamakan kedudukan pada minit ke-88.

Seterusnya, Real Madrid menyamakan kedudukan pada masa kecederaan menerusi Joselu sekali lagi yang menyambar hantaran Antonio Rudiger.

Bayern Munich memiliki peluang menyamakan kedudukan lewat perlawanan. Namun gol De Ligt dibatalkan kerana ianya dianggap tidak sah, ada rakannya ofsaid terlebih dahulu.

Selepas tamat perlawanan, Tuchel memberitahu bahawa penjaga garisan sudah meminta maaf kepada mereka kerana dia telah membuat kesilapan mengangkat bendera ofsaid.

Malangnya itu tidak mengubah apa apa dalam keputusan perlawanan. Tuchel menganggap ianya satu keputusan pengadilan yang sukar diterima.

“Penjaga garisan dah minta maaf. Tapi itu tak membantu mengubah apa apa pun. Pengadil pun sama, dia tak sepatutnya meniup wisel terlalu awal. Dia sendiri nampak kami memenangi bola kedua.

“Itu keputusan pengadilan yang sangat teruk dan ianya bercanggah dengan peraturan. Ini satu malapetaka. Sukar nak menelannya,” tegas Tuchel.

Bintang Belanda, Mathijs De Ligt pula menyatakan Real Madrid memang agak bertuah mendapat keputusan memihak daripada pengadil, namun dia juga menegaskan bahawa Real Madrid adalah pasukan yang sentiasa mampu bangkit pada detik detik yang sukar dalam perlawanan.

“Saya tak nak cakap yang Real Madrid sentiasa dibantu pengadil, namun itu benar benar memberikan perbezaan hari ini.

“Real Madrid ni, apabila kamu anggap mereka dah mampos, mereka ada nyawa terakhir, sebab itu mereka ada 14 trofi Liga Juara Juara Eropah,” tegas pemain itu kepada Movistar.

Bayern Munich rasminya menamatkan kempen musim ini tanpa sebarang piala. Dan ianya pertama kali berlaku sejak 2012.

Harry Kane meneruskan badi tanpa pialanya walaupun bersama kelab yang selalu menang piala.

BACA:  Hamilton Dan Serena Williams Berpotensi Untuk Menjadi Pemilik Baru Chelsea