Bayern Munich Berdebar Tunggu Jawapan Spurs Untuk Harry Kane

Bayern Munich kini sedang menunggu dengan penuh debaran samaada bidaan kali kedua bernilai £70 juta tidak termasuk bayaran bonus untuk Harry Kane akan diterima atau ditolak oleh Tottenham.

Juara Jerman itu melakukan bidaan semula selepas diyakinkan Kane mahu menyertai mereka pada jendela perpindahan musim panas ini.

Tottenham pula dijangka akan menjual pemain antarabangsa England itu di jendela perpindahan musim panas ini kerana kontrak Kane kini hanya berbaki setahun dan berisiko terpaksa melepaskan pemain itu secara percuma pada musim panas akan datang.

Nilai bidaan terkini daripada Bayern bagaimanapun masih kurang daripada nilai yang ditetapkan oleh Tottenham untuk membenarkan pemain itu pergi.

Jika Tottenham bertegas enggan melepaskan Kane, maka pemain itu sepatutnya kembali menyertai latihan pasukan pada Rabu ini.

Spurs juga akan terbang ke Australia, Thailand dan Singapura untuk jelajah pra musim pada Jumaat akan datang.

Bayern mempunyai sebab untuk gentar dengan tuntutan Tottenham setelah pengerusinya, Daniel Levy dikatakan marah dengan tindakan kelab Bundesliga itu melakukan rundingan dengan Kane melalui pintu belakang sebelum ini.

Tuchel dikhabarkan cuba mempengaruhi Kane untuk menyertai Bayern dan menolak semua tawaran yang cuba diusulkan oleh kelab asalnya.

Kejadian Tuchel menemui Kane secara rahsia dan tanpa kebenaran Spurs menyebabkan Daniel Levy marah.

Media Jerman, Bild mendedahkan Levy kini bertekad untuk mengikis kewangan Bayern sehingga ‘berdarah’ sekiranya kelab Bundesliga itu berniat untuk mendapatkan Kane.

Malah Levy kini dikatakan turut bercadang untuk menolak tawaran terbaru daripada kelab Bundesliga itu.

Tuchel dilaporkan mensasarkan Kane sebagai penyerang pilihan utama untuk saingan musim hadapan setelah prestasi tidak menentu pasukan sepanjang musim 2022/23.

Ini selepas Bayern membenarkan Robert Lewandowski menyertai Barcelona pada musim panas lalu.

Bayern terdesak untuk mendapatkan Kane di jendela perpindahan musim panas ini kerana menyedari ia akan semakin sukar untuk mendapatkan pemain itu sekiranya bergelar ejen bebas.

Halangan utama Bayern kini semestinya adalah kedegilan Levy yang dikenali kerana kesukaran melakukan rundingan untuk melepaskan pemain bintang kelab London itu.

BACA:  Harry Kane Bakal Ditawarkan Kontrak 5 Tahun Yang Bernilai £80 Juta