Bayern Munich Bincang Beli Raphael Varane Januari Ini

Raphael Varane kini dilaporkan dengan perpindahan ke Bayern Munich pada Januari hadapan dan berpotensi mengikuti jejak langkah Harry Kane untuk meninggalkan Premier League.

Pemain pertahanan Manchester United itu kini menjadi topik perbincangan serius secara dalaman oleh Bayern Munich untuk urusniaga di jendela perpindahan Januari hadapan.

Wartawan Sky Sports Florian Plettenberg mendedahkan pada masa ini jaguh Bundesliga itu melihat gaji berjumlah £14.9 setahun yang diterima Varane di Old Trafford sebagai halangan utama.

Namun demikian Bayern tetap melihat Varane sebagai antara pilihan menarik di pasaran dan akan terus mengikuti perkembangan bekas pemain pertahanan Perancis yang semakin hilang tempat di dalam skuad kendalian Erik ten Hag itu.

Bayern turut dilaporkan tidak bercadang untuk mendapatkan Varane secara pinjaman dan percaya bidaan sekitar £26.3 juta sudah memadai untuk mendapatkan pemain itu.

Varane menyertai United pada era Ole Gunnar Solskjaer dan merupakan pembelian utama kelab itu pada 2021.

Ketibaan Varane turut disambut dengan meriah dan diarak di sekitar Old Trafford pada perlawanan pembukaan Premier League musim 2021-22.

Namun situasi kini mulai berubah apabila Varane bergelut dengan prestasi dan mulai tidak mendapat tempat di dalam skuad kendalian Erik ten Hag sejak beberapa bulan lalu.

Sehingga kini Varane hanya beraksi sekali sebagai pemain kesebelasan utama di dalam aksi Premier League – kekalahan di tempat sendiri menentang Crystal Palace – dan kariernya pada musim ini lebih banyak dihiasi dengan isu kecederaan.

Tanpa Varane, Ten Hag kini lebih kerap mengggunakan gandingan Harry Maguire dan Jonny Evans pada musim ini.

Pada masa ini Bayern memiliki pemain seperti Kingsley Coman dan Dayot Upamecano yang berasal dari Perancis. Pemain seperti Lucas Hernandez dan Benjamin Pavard pula meninggalkan Allianz Arena pada musim panas lalu.

Bayern sememangnya sinonim dengan pemain dari Perancis dimana pemain seperti Franck Ribery, Bixente Lizarazu dan Willy Sagnol dianggap sebagai legenda kelab.

Buat masa sekarang Varane perlu memenangi kembali tempatnya di dalam skuad Manchester United dan pemain itu masih mempunyai tempoh enam minggu untuk berbuat demikian sehingga jendela perpindahan Januari akan datang kembali dibuka.

Jika bersetuju untuk menjual Varane, United jelas perlu mencari pengganti dengan kadar segera atau berhadapan risiko kekurangan pemain di posisi sama untuk baki saingan musim ini.

BACA:  Aksi Gila Fred, Pijak Kaki De Gea Hingga Rebah Bolehkan Arsenal Jaring Gol Pendahuluan