Pemain Pertahanan Bayern Munich Terpaksa Ditenangkan Selepas Hampir Bertumbuk Dengan Pembantu Tuchel

Media Jerman mendedahkan pemain pertahanan, Joshua Kimmich hampir sahaja bertumbuk dengan pembantu jurulatih, Zsolt Low dan kedua-duanya terpaksa dileraikan oleh pemain lain dan pegawai pasukan dalam situasi panas selepas perlawanan.

Insiden panas itu dipercayau berlaku selepas Bayern tumpas 3-2 kepada Bochum di dalam aksi Bundesliga pada hujung minggu lalu.

Musim Bayern menjadi huru hara apabila juara bertahan itu mengalami kekalahan ketiga berturut-turut pada musim ini.

Menurut laporan Sportbuzzer, kedua-duanya bermula dengan pertengkaran mulut dan situasi menjadi semakin panas apabila ia melibatkan sentuhan fizikal.

Insiden berlaku di tangga Stadium Vonovia Ruhrstadion menuju ke bilik persalinan selepas perlawanan dan memaksa campur tangan kakitangan lain untuk meleraikan pergaduhan dan menenangkan keadaan.

Laporan sama mendedahkan pembantu kepada Tuchel itu menjerikan sesuatu ke arah Kimmich. Pemain itu yang tidak berpuas hati kemudian terus berpatah balik dan meluru kepada jurulatih itu.

Kedua-duanya kemudian menuju ke bilik persalinan selepas keadaan menjadi tenang.

Hubungan Kimmich dengan Tuchel dan pasukan kejurulatihannya sememangnya kurang baik sejak beberapa bulan lalu sehingga menimbulkan spekulasi pemain pertahanan itu mahu meninggalkan kelab tersebut.

Tiga kekalahan berturut-turut dialami kelab Bavarian itu menyebabkan impian mempertahankan kejuaraan Bundesliga pada musim ini terancam.

Pada masa yang sama masa depan pengurus pasukan Thomas Tuchel turut mulai dipersoalkan.

Kesengsaraan Bayern bermula apabila kelab itu tewas 3-0 kepada Bayer Leverkusen – perlawanan di mana mereka gagal menghasilkan walau satu percubaan tepat ke arah gawang lawan – pada minggu lalu.

Ia kemudiannya diikuti dengan kekecewaan di Champions League, tewas 1-0 kepada Lazio di perlawanan pusingan pertama 16 pasukan terbaik.

Kekalahan kepada Bochum menyebabkan Bayern kini ketinggalan lapan mata kepada Leverkusen yang selesa menerajui kedudukan Bundesliga.

BACA:  Thomas Tuchel Dedah Pemain Pilihannya Untuk Memenangi Anugerah Ballon D'or