Polis Buru ‘Harry Kane’, Suspek Utama Kes Rompakan Di London

Apabila pihak polis mengeluarkan lakaran gambar suspek kes rompakan di England baru-baru ini, ramai orang awam menasihatkan agar pihak berkuasa itu menghubungi rakan sejawat mereka di Munich, Jerman,

Ini kerana imej yang dikeluarkan begitu mirip dengan penyerang England dan Bayern Munich, Harry Kane.

Kapten skuad kebangsaan England itu melengkapkan perpindahan ke Bundesliga pada musim panas lalu dari Tottenham dan kini telah menjaringkan 17 gol daripada 13 perlawanan.

Lakaran imej perompak itu dikeluarkan oleh pihak polis di wilayah Richmond upon Thames yang terletak di sebelah barat daya London.

Ia serta merta menyebabkan ramai penduduk tempatan terkejut sekali gus mencetuskan topik perbualan di media sosial.

Lakaran lelaki tersebut sememangnya mirip dengan Harry Kane, melainkan tampil sedikit cekung.

Seorang daripada mereka, Charlie Stoney berkata di Facebook: “Pergi cari di Jerman.”

Ashley Grace pula bertanya: “Harry Kane ada kembar seiras?”

Difahamkan pihak Metropolitan Police mengeluarkan imej tersebut selepas seorang wanita dirompak di sebuah lorong jalanan yang terletak di Twickenham Riverside pada 26 Oktober lalu.

Kejadian tersebut berlaku tiga hari selepas Kane menjaringkan hatrik ketika Bayern Munich membelasah Darmstadt 8-0 di dalam saingan Bundesliga.

Dan pada ketika ini Bayern masih belum tewas dalam semua 11 perlawanan liga dengan sembilan kemenangan dan dua keputusan seri, yang menyaksikan Harry Kane mencetak 17 gol daripada semua 11 perlawanan setakat ini.

Walaupun demikian pasukan itu masih gagal mendominasi saingan Bundesliga sepenuhnya selepas Bayern Leverkusen kendalian Xabi Alonso merekodkan 10 kemenangan daripada 11 perlawanan.

BACA:  Peminat Newcastle Sangat Berharap, Pemilik Baru Akan Mendapatkan Harry Kane