Cubaan Bayern Munich Dapatkan Khidmat De Gea Tidak Menjadi Kenyataan Selepas Dibantah Tuchel

Laporan terbaru dari Jerman mendedahkan perpindahan David de Gea ke Bayern Munich dilaporkan tidak menjadi kenyataan.

De Gea adalah ejen bebas dan sehingga kini masih belum terikat dengan mana-mana kelab sejak meninggalkan Manchester United pada musim panas tahun ini.

Walaupun penjaga Sepanyol itu berjaya menampilkan aksi keseluruhan yang cemerlang pada musim lalu, beberapa kesilapan berprofil tinggi menyebabkan Erik ten Hag menamatkan tawaran kontrak untuk penjaga gol itu untuk kekal di Old Trafford.

Sejak daripada itu De Gea dikaitkan dengan beberapa perpindahan termasuk ke Arab Saudi dan Real Madrid.

Terbaru laporan mendedahkan De Gea sedang menjalani perbincangan untuk menyertai Bayern Munich sebagai pengganti penjaga gol pilihan No.1 Manuel Neuer yang mengalami kecederaan.

Namun pendedahan wartawan Sky Sports, Florian Plettenberg mengesahkan perbincangan penjaga gol berusia 32 tahun itu dengan gergasi Jerman itu kini sudah ditamatkan.

Melalui ciapannya, Plettenberg berkata: “FC Bayern tidak akan menandatangani David de Gea. Ia sudah diputuskan (dimuktamadkan).

“Tuchel membuat keputusan veto menentukannya, terutama apabila Manuel Neuer dijangka akan kembali cergas dalam beberapa minggu lagi.

“Seperti dilaporkan sebelum ini Tuchel sebaliknya mahukan penjaga gol (kedua) Manchester City Stefan Ortega dan telah menghubungi pemain itu melalui panggilan telefon – cubaan mendapatkan Oreta juga sudah dihentikan.

“Bayern memang berbincang dengan De Gea. Pemain itu juga mahu menyertai Bayern. Tetapi kini ia tidak menjadi kenyataan.”

Neuer, 37 tahun kini sedang dalam proses pemulihan selepas kecederaan panjang patah kaki ketika meluncur ais.

Ketiadaan penjaga gol berpengalaman itu bermakna posisi tersebut di Bayern kini diisi oleh Sven Ulrich.

Ulrich melepaskan tiga gol dalam kekalahan 3-0 ketika menentang RB Leipzig di Piala Super Jerman pada hujung minggu lalu.

Plettenberg mengesahkan Bayern kini sanggup untuk menunggu Neuer untuk kembali berbanding untuk mendapatkan De Gea – walaupun memerlukan penjaga gol kedua.

Laporan turut mendedahkan De Gea menuntut gaji yang terlalu tinggi untuk menyertai Bayern. Krisis penjaga gol di kelab Bavarian itu semakin parah apabila Yann Sommer berhijrah untuk menyertai Inter Milan pada musim panas ini.

Sommer menyertai kelab Serie A itu untuk menggantikan Andre Onana – berpindah ke Old Trafford menggantikan De Gea sebagai pilihan No.1 di hadapan gawang oleh Ten Hag.

Real Madrid sebelum ini turut dilaporkan untuk mendapatkan De Gea selepas kecederaan ACL Thibout Cortois, namun perancangan tersebut dibantah oleh Carlo Ancelotti.

Gergasi Sepanyol itu akhirnya mendapatkan Kepa Arrizabalaga dari Chelsea secara pinjaman.

Dan setelag Man City enggan melepaskan Stefan Ortega, Bayern kini di peringkat akhir untuk mendapatkan Daniel Peretz daripada Maccabi Tel Aviv.

BACA:  Rangnick Gesa Manchester United Tiru Arsenal