Levy Tekad Kikis Bayern Munich Sampai Berdarah Kerana Cubaan Cilok Kane Guna Pintu Belakang

Bayern Munich berkemungkinan telah membuat kesilapan besar ketika cuba mengendalikan perpindahan Harry Kane daripada Tottenham sehingga membuatkan pengerusi kelab itu, Daniel Levy marah.

Thomas Tuchel melihat Kane sebagai pemain yang sesuai dan memenuhi profil yang dikehendakinya untuk menggantikan tempat Robert Lewandowski – selepas semusim bintang Poland itu berhijrah ke Barcelona.

Beberapa laporan minggu ini mendedahkan Thomas Tuchel menemui penyerang berusia 29 tahun itu untuk berbincang secara rahsia di kediamannya.

Penyerang antarabangsa England itu masih memiliki kontrak setahun untuk kekal bersama kelab utara London itu.

Tuchel dikhabarkan cuba mempengaruhi Kane untuk menyertai Bayern dan menolak semua tawaran yang cuba diusulkan oleh kelab asalnya.

Kejadian Tuchel menemui Kane secara rahsia dan tanpa kebenaran Spurs menyebabkan Daniel Levy marah.

Media Jerman, Bild semalam mendedahkan Levy kini bertekad untuk mengikis kewangan Bayern sehingga ‘berdarah’ sekiranya kelab Bundesliga itu berniat untuk mendapatkan Kane.

Malah Levy kini sudah bercadang untuk menolak tawaran sekitar £85 juta untuk pemain itu setelah sebelum ini turut menolak bidaan pertama Bayern untuk Kane bernilai £60 juta pada minggu lalu.

Levy juga dikhabarkan tidak peduli dengan situasi kontrak Kane yang berbaki setahun sehingga menyebabkan kelab itu berisiko kehilangan pemain itu secara percuma pada musim panas akan datang.

kemarahan Levy terhadap Bayern bermakna kelab Bavarian itu kini termasuk di dalam senarai yang pernah berhadapan dengan kedegilan Levy ketika berurusan mengenai penjualan pemain daripada Spurs.

Levy sememangnya sangat dikenali dengan ketegasan dan sukar untuk dibawa berunding.

Bekas pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson pernah menyifatkan berunding dengan Levy lebih menyakitkan daripada melakukan pembedahan pengkal paha.

Kenyataan oleh Ferguson itu adalah berdasarkan pengalaman beliau membawa Dimitar Berbatoc ke Old Trafford pada 2008.

Pada ketika itu walaupun United berjaya mendapatkan Berbatov, Levy kemudiannya bertindak menghantar aduan kepada Premier League dengan dakwaan kelab Manchester itu menggunakan pintu belakang untuk mendapatkan pemain mereka.

Maka tidak hairanlah sejak daripada itu tiada lagi pemain Tottenham berhijrah menyertai Manchester United.

Erik ten Hag dan United juga merupakan antara kelab yang dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat Kane pada musim panas ini.

Levy bagaimanapun bertegas tidak akan menjual penyerang prolifik berusia 29 tahun itu kepada pasukan yang dianggap sebagai pencabar domestik mereka.

BACA:  Sadio Mane Jaringkan Gol Dalam Debut Buat Bayern Munich, Julang Piala DFL-Supercup